Aplikasi, Berita, Bisnis

Respond.io Malaysia Raih Status Pembekal Penyelesaian WhatsApp Business

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2023 — Platform pengurusan perbualan pelanggan saluran omni (omnichannel) respond.io telah meraih status Pembekal Penyelesaian Perniagaan (BSP) WhatsApp, menyertai barisan eksklusif kurang daripada 150 BSP di seluruh dunia. Perniagaan tempatan yang menggunakan respond.io kini boleh mengintegrasikan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) WhatsApp secara terus daripada rangkaian pelayan awan Meta di seluruh dunia, mempertingkatkan masa penghantaran mesej serta keupayaan penglibatan pelanggan secara keseluruhannya.

Antara muka peti masuk pengguna Respond.io

Sebagai salah satu pembekal utama keupayaan API WhatsApp di Malaysia, respond.io kini mempunyai akses terus kepada pasukan sokongan Meta dan boleh memberikan bantuan yang lebih pantas untuk permintaan seperti pengesahan WhatsApp Business. Selain itu, perniagaan juga boleh mengurus keseluruhan profil WhatsApp Business mereka — daripada penciptaan templat mesej dan kelulusan kepada caj perbualan — semuanya melalui satu antara muka terpusat.

“Sebagai Pembekal Penyelesaian WhatsApp Perniagaan, respond.io kini dapat memberikan pengalaman pemesejan WhatsApp yang lancar dan selamat kepada pelanggan kami. Ia sejajar dengan komitmen kami dalam memperkasakan perniagaan untuk mencipta pengalaman pelanggan yang lebih baik melalui pemesejan. Kami sentiasa memerhatikan trend baru muncul seperti AI perbualan dan pemesejan pelbagai saluran (omnichannel) untuk memastikan kami sentiasa terkedepan dalam inovasi dan dapat membangunkan penyelesaian termaju yang diperlukan oleh pasaran. Sebagai syarikat permulaan Malaysia, kami dapat melihat potensi besar dan penggunaan pemesejan segera yang tinggi di rantau ini,” kata Gerardo Salandra, Ketua Pegawai Eksekutif, Respond.io.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Respond.io,Gerardo Salandra

Dengan pelbagai alatan pemesejan yang komprehensif, respond.io menawarkan penyelesaian komunikasi pelanggan yang lengkap kepada perniagaan untuk memanfaatkan kadar penggunaan pemesejan segera yang tinggi di Malaysia. Melalui capaian multipengguna, platform ini membantu pasukan perniagaan untuk membalas sejumlah besar mesej melalui satu nombor WhatsApp sahaja.

Selain itu, perniagaan boleh memanfaatkan pembina automasi canggih respond.io, melengkapkan integrasi yang lancar dengan saluran pemesejan tersuai dan lebih 5,000 aplikasi pihak ketiga — termasuk pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) dan platform e-dagang seperti Hubspot, Salesforce, Shopify, WooCommerce, Magento dan lain-lain. Platform ini turut menyediakan modul laporan untuk analisis terperinci mengenai prestasi ejen individu dan pasukan.

Untuk membantu perniagaan mematuhi dasar dan peraturan WhatsApp, respond.io memudahkan pelbagai penyelesaian untuk pengumpulan ikut serta (opt-in) pelanggan. Melalui platform tersebut, perniagaan boleh menjana pautan atau widget WhatsApp untuk mendapatkan ikut serta daripada pelanggan dengan mudah melalui laman web atau laman media sosial mereka.

Beribu pejabat di Malaysia, respond.io merupakan satu platform pemesejan pelanggan tempatan pilihan syarikat terkemuka seperti Selangkah, Teleport dan Abenson. Kejayaan utamanya termasuklah meningkatkan jualan Lamarsa Coffee sehingga 50% di enam buah negara, serta membantu Pinnacle Contact Centre merekrut lebih daripada 110 calon setiap hari. Respond.io akan terus memajukan teknologi komunikasi pelanggan untuk pasaran Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai respond.io, sila layari respond.io.