Lebuhraya Ke Neraka merupakan Filem terbitan Grand Brilliance dan edaran Primeworks Distribution yang menampilkan pelakon berbakat seperti Awie, Khir Rahman, Dazrin Kamarudin dan lain-lain. Ia mula ditayangkan di seluruh negara mulai 4 Mei ini.

Pengarah Filem, Mamat Khalid

Pengarah filem ini, Mamat Khalid turut memaklumkan bahawa karya terbarunya ini bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF)

“Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama yang baik daripada LPF. Bagaimanapun, ada dua dialog yang menyentuh sensitiviti agama disenyapkan dalam filem ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem berkenaan.

Bimbang dengan isu sensitiviti agama, Mamat Khalid juga ada merujuk kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum menghasilkan filem ini.

“Memang saya ada bertemu dan berbincang bincang dengan Mufti negeri Perak untuk merujuk skrip filem ini. Lagipun tidak salah saya merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang lebih arif kerana saya tidak mahu memandai-mandai apatah lagi filem ini bergenre ketuhanan dan dakwah,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut beliau, filem ini menjadi impiannya setelah menunggu lama untuk disiapkan. Berbeza dengan filem sebelum ini dengan genre komedi, kali ini Mamat Khalid memberi kelainan dalam karyanya dengan menghasilkan filem serius.

Sumber