Syamel Luahkan ‘Sesuatu’ Dalam Lagu Biar Cinta

202

Syamel atau nama sebenarnya Syamel Aqmal Mohammad Fodzly, 24 baharu sahaja pulang dari mengadakan peresembahan di Chengdu, China mewakili Malaysia pada ABU TV Song Festival 2017 dan kini kembali menyemarakkan persada muzik tanahair selepas kejayaan memberangsangkan single pertama ‘Hidup Dalam Mati’ dengan tontonan melebihi 15 juta di laman sesawang YouTube dan diikuti dengan single ‘Lebih Sempurna’ dengan 3 juta tontonan dan single ‘Aku Cinta’ duet bersama Ernie Zakri dengan tontonan
hampir 6 juta.

Suara Lantang ‘Trademark’ Syamel

Kini, lebih bersemangat dan yakin, Syamel kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Biar Cinta’ hasil ciptaan bersama komposer dan penerbit, Edry Abdul Halim. Bintang naib juara Akademi Fantasia 2015 ini kian menyerlah dan vokal lantang yang dimiliki Syamel sememangnya menjadi trademark beliau sejak mulam diperkenalkan melalui Akademi Fantasia 2015.

Teruja Dengan Lagu Baru

Syamel yang mempertaruhkan lagu ciptaannya sendiri kali ini cukup teruja setelah diberi peluang untuk menghasilkan lagunya. Malah Syamel juga berjaya buktikan lagu-lagu yang dibawakannya bukanlah sekadar ‘one hit wonder’

“’Biar Cinta’ merupakan single saya yang terbaru di mana ia menceritakan tentang
perasaan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya tetapi telah melukai hatinya
kerana sifat ego dan mementingkan diri sendiri dan teman wanitanya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.

Saya amat teruja kerana sekali lagi diberi peluang dan kepercayaan untuk menghasilkan dan merakamkan single ‘Biar Cinta’ hasil ciptaan saya sendiri dan mendapat bantuan profesional daripada penerbit terkenal tanah air iaitu saudara Edry Abdul Halim. Banyak yang telah saya pelajari apabila bekerjasama dengan beliau dan pengalaman yang ditimba sangat berharga. Hasilnya, sempurnalah ‘Biar Cinta’ istimewa buat peminat-peminat saya di luar sana,”