Sejak menempa nama di Indonesia, tidak pernah terlintas di fikirannya pelakon kacak ini untuk menolak tawaran berlakon di Malaysia.

Hangat.com difahamkan, Bront Palarae kini sibuk bekerja dengan beberapa penerbit tempatan di Malaysia.

“Adalah penting untuk saya terus kekal relevan di Malaysia kerana ini adalah tempat saya memulakan kerjaya,” kata artis berusia 39 tahun itu dengan nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin.

“Pada masa yang sama, saya tidak mahu orang melihat saya sebagai orang yang menganggap dirinya ‘terlalu bagus’ untuk industri perfileman tempatan,” 

Menurut laporan dari NST Online, Bront berkata beliau begitu senang bekerja di luar negara. Mengembang bakat di Indonesia telah membuka matanya untuk melihat perbezaan antara dua negara.

“Apabila kita pergi ke luar negara, kita pelajari sesuatu yang baru dan diterapkan semula di Malaysia. Oleh itu, sekiranya saya mumutuskan hubungan dengan negara asal saya, maka apa yang saya pelajari adalah tidak berguna, “katanya.

Bront telah membintangi filem-filem dari Indonesia seperti Headshot, My Boss Stupid, Pengabdi Setan dan Ayat-Ayat Cinta 2.

Dengan kejayaan dalam filem seram Pengabdi Setan dan Ayat-Ayat Cinta 2 di Indonesia, Bront menerima penghormatan untuk mendapat pengiktirafan di republik itu.

November lalu, Bront dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik untuk watak sebagai Bapa untuk filem Pengabdi Setan, di Festival Filem republik Tempo. Hangat.com mengucapkan tahniah buat Bront dan semoga beliau berjaya sehingga ke persada antarabangsa.

Sumber NST Online