Sebagai seorang usahawan wanita dalam usia muda, bukan mudah untuk Neelofa untuk mengorak langkah ke peringkat yang lebih tinggi. Sejak dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di AirAsia, semalam buat pertama kalinya dia berkongsi keterujaannya apabila memulakan tugas.

Seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online, Neelofa berkongsi pengalaman menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa kumpulan syarikat penerbangan itu di Ibu Pejabat AirAsia, KLIA.

“Pastinya satu pengalaman yang sungguh menakjubkan. Saya sempat membuat sedikit kajian mengenai AirAsia dan dunia penerbangan, Alhamdulillah, tuhan mempermudahkan urusan menyesuaikan diri dalam persekitaran dan tugas baru itu.



Dalam mesyuarat itu, Hangat.com difahamkan AirAsia juga telah memberi ruang kepada Neelofa untuk melontarkan idea.

“AirAsia menyambut baik kehadiran saya di sini. Mendengar segala lontaran idea dan pandangan dari setiap individu yang hadir, membuatkan saya lebih yakin mengapa AirAsia mampu berdiri gah di mata dunia seperti sekarang.”

Sebelum ini, reputasi usahawan muda yang diiktiraf Forbes Asia itu menyerlah di peringkat global apabila diberi kepercayaan sebagai anggota panel bagi Program Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), September lalu.

Sumber Utusan Online