Menjejakkan kaki ke Istana Budaya setelah sekian lama bangunan ini sepi telah mengimbau kembali saat kegemilangannya dahulu. Istana Budaya baru sahaja dibuka selepas ditutup selama sembilan bulan bagi pengubahsuaian Panggung Sari yang menjadi pentas utama persembahan teater.

Tayangan Media Eksklusif Untuk Para Media

Pembuka tahun 2018 menyaksikan Enfiniti, muncul dengan buah tangan terbaru yang dinanti-nantikan iaitu teater berjudul OlaBola The Musical. Teater Musikal itu akan dibuka untuk orang ramai pada hari Khamis, 8 Februari dan berlangsung hingga 11 Mac 2018.

Semalam (7 Februari 2018) para media dan artis tempatan berkesempatan untuk menonton tayangan perdana secara eksklusif buat pertama kalinya.

Kisah Perjuangan “Tauke”

OlaBola The Musical mengisahkan perjuangan “Tauke” Chow Kwok Keong, pasukan Kapten yang bertekad untuk memimpin pasukan Harimau Malaya ke masuk ke Sukan Olimpik, dan sahabatnya, pengulas sukan yang bercita-cita tinggi yang sangat ramah iaitu Rahman.

Teater Musikal ini juga menampilkan watak penjaga gol pasukan iaitu Muthu, Ali sebagai penyerang dalam pasukan dan ramai lagi bintang-bintang teater yang mewarnai persembahan ini.

Watak Mr. Wong Curi Perhatian

Memegang watak Mr.Wong, Douglas Lim menggalas watak seorang pemilik kedai kopi yang suka mengkritik dan mengulas mengenai pemain bola sepak Harimau Malaya.

Sifat bersahaja dan kelakar Mr. Wong buatkan penonton tak kering gusi sehinggakan kami tertunggu-tunggu apa lagi “punch line’ yang dia mahu sampaikan.

Penat Ketawa Dengar Rahman Jadi Pengulas

Pelakon Iedil Putra menjadi salah satu daya tarikan pada pementasan teater tersebut apabila untuk watak pengulas sukan. Pemuda bercita-cita tinggi ini akhirnya berjaya menjadi pengulas sukan ketika perlawanan Harimau Malaya dan Korea Selatan.

Setiap kata-kata yang disampaikan ketika mengulas sukan buatkan penonton tak kering gusi. Nampaknya watak Rahman lebih menonjol di penghujung persembahan. Jadi kenalah tonton sendiri!

‘The Greatest Showman’ Malaysia

Bintang West End Stephen Rahman yang melakonkan watak Coach Harry Mountain, bukan asing dalam dunia teater Malaysia setelah memainkan watak paling diingati iaitu Hang Tuah dalam produksi Enfiniti yang memenangi anugerah Puteri Gunung Ledang The Musical.

Walaupun watak Coach Harry agak kecil dalam teater ini namun setiap kali dia muncul akan dapat tepukan gemuruh.

Berpengalaman dalam bidang teater di peringkat antarabangsa, Stephen telah memukau penonton ketika dia menyampaikan nyanyian dalam lakonan mirip seperti Hugh Jackman dalam filem muzikal ‘The Greatest Showman.’

Rapper Jadi Sarjan Ahmad Dapat Sorakkan

Ini menjadi percubaan sulung Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 39, di pentas teater. Memegang watak Sarjan Ahmad yang hanya membabitkan dua babak, namun kemuculannya seperti ditunggu-tunggu peminat. Persembahan Altimet tidak mengecewakan dan rata-rata penonton teruja dengan kemunculannya dalam teater ini.

Bikin Jantung Penonton Berdegup Kencang

Penonton di bawa ke masa silam untuk merasai bagaimana cabaran perjalanan mereka ke Sukan Olimpik dan bagaimana seluruh rakyat Malaysia memberi tumpuan serta semangat kepada Harimau Malaya. Hati mula berdegup kencang tatkala perlawanan pasukan Harimau Malaya beraksi, malah penonton seolah-olah berada di Stadium bola untuk menyaksikan kemenangan mereka.

Karya Tiara Jacquelina Tak Pernah Menghampakan

Sebut sahaja nama Tiara Jacquelina, semua akan membayangkan karya dalam bidang teater. Pengarah dan penerbit teater ini telah mengotakan janjinya kepada penonton. Setiap bait-bait dalam lagu sungguh mendalam, koreografi yang menarik dan lakonan bintang-bintang teater yang cukup memukau.

Penceritaan Penuh Aksi dan Padat

Persembahan teater ini dimulakan dengan kegagalan Harimau Malaya untuk menyertai sukan Olimpik pada tahun 1976. Namun selepas itu, secara perlahan-lahan penceritaanya membawa kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kapten pasukan, Chow Kwok Keong atau Tauke yang terpaksa memilih antara perjuangan dalam bola sepak dan harapan keluarganya.

Watak Ahmad Ali yang bersikap baran malah sedikit emosi dalam pasukan manakala Muthu terpaksa berdepan dengan ayahnya yang menentang anaknya bermain bola sepak daripada membantu keluarga.

Penggunaan Pelbagai Bahasa 

Sebuah teater yang begitu mendalam maksudnya. Setiap bait ayat yg diucapkan sungguh bermakna dan menusuk. Dalam teater ini, penggunaan pelbagai bahasa mencerminkan keindahan Malaysia yang mempunyai berbilang kaum.

Sebuah kisah yang berjaya digarap menjadi sebuah teater untuk dijadikan semangat dan bangga menjadi rakyat Malaysia. Betapa besarnya perjuangan pasukan bola sepak Harimau Malaya.

Visual & Props Lebih Menarik

Penonton di Istana Budaya seolah-olah berada Stadium Merdeka pada 1980 semasa perlawanan kelayakan Olimpik. Lebih menarik, dengan kandungan visual di skrin besar LED, penayangan 180 darjah, pemetaan lantai digital, visual animasi, pencahayaan yang canggih dan suasana stadium meriah dengan bunyi sekeliling 360 darjah.

‘Standing Ovation’ Dari Penonton

Teater ini berakhir dengan mendapat tepukan gemuruh dan standing ovation dari pononton yang terdiri daripada ahli media dan artis tempatan. Sangat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan walaupun ada sedikit cela namun tetap indah di mata penonton.

Barisan Pelakon Hebat

Teater yang diangkat daripada filem box-office arahan Chiu Keng Guan itu akan diterajui oleh Brian Chan sebagai Tauke, Luqman Hafidz (Ali), Abimanyu Masilamani (Muthu), Iedil Putra (Rahman), Kai Chalmers (Eric), Lim Jian Wei (Ah Chai), Melissa Ong (Mei Ling) dan Altimet (Sarjan Ahmad).

Rugi Tak Tonton Sendiri

Penjualan tiket bermula boleh dibeli sekarang. Bagi peminat yang ingin menyaksikan pementasan teater berkenaan, tiket boleh didapati dengan melayari laman web www.olabolamusical.com.