Semalam, tayangan perdana filem Dukun telah pun diadakan di Suria KLCC Kuala Lumpur dan Hangat.com turut berkesempatan menonton filem itu bersama media tempatan yang lain.

Rakan Artis Beri Sokongan

Pertama kali kami melihat tayangan perdana yang dihadiri hampir semua media cetak, elektronik dan sebagainya. Begitulah penangan filem Dukun setelah 12 tahun menanti untuk ditayangkan.

Malah pada tayangan perdana filem itu selain pelakon-pelakon utamanya, Datin Paduka Umie Aida, Elyana, Hasnol Rahmat dan Faizal Hussein, turut kelihatan rakan-rakan artis yang datang memberi sokongan. Antaranya adalah Neelofa dan Datuk Aznil Haji Nawawi.

Umie Aida Kongsi Pengalaman Seram Di Penjara Pudu

Spoiler Alert! Maafkan kami jika kami dedahkan sedikit teaser filem ini meskipun ianya sudah pun tersebar luas sebelum ini. Antara lokasi filem ini adalah di Penjara Pudu dimana ianya telah dipilih sebagai lokasi penggambaran sebelum diruntuhkan memberi laluan kepada pembangunan negara.

Di sebalik pembikinan filem tersebut, sebenarnya terdapat peristiwa aneh yang telah terjadi semasa menjalani penggambaran filem Dukun di Penjara Pudu sekitar 12 tahun lalu.

Umie mendedahkan dia hampir mengalami histeria ketika dia melawat ke bilik gantung sebelum tubuhnya tiba-tiba menggigil dan ketakutan.

“Benar orang kata apabila kita pergi ke tempat sebegitu jangan leka sesaat pun dan ketika kejadian saya dalam keadaan tidak suci. Sementara menunggu kru bersiap sedia saya masuk ke tempat tahanan terakhir banduan dan bertanya apa agaknya perasaan dan dalam fikiran mereka pada hari terakhir.”

“Tidak sampai beberapa saat tubuh saya menggigil ketakutan dan sekiranya saya tidak mengawalnya mungkin saya boleh terkena histeria”

Mula berasa ‘tidak sedap badan’, beliau segera keluar daripada kawasan penjara itu dan menangis hampir lima minit di tempat parkir sebelum kembali bertenang dan meneruskan penggambaran.

Selepas 12 tahun akhirnya Diana Dahlan kini kembali! Apakah kesudahannya? Saksikan di pawagam berhampiran anda bermula hari ini!