Datin Paduka Umie Aida adalah pilihan Hangat.com sebagai Primadona yang sememangnya berbakat besar. Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum binti Rahmad Ali bukan sahaja bergelar pelakon malah turut bergelar penyanyi, penerbit dan ahli perniagaan. Pelakon yang berusia 44 tahun ini memulakan karier lakonan ketika berusia 18 tahun setelah menjadi finalis pertandingan Dewi Remaja 1990/91.

7 Lakonan Umie Yang Cetuskan Fenomena

Umie yang juga adik beradik kepada Erma Fatima dan Betty Rahmad ini pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia masing-masing menerusi filem “Embun” (2002) dan “Sembunyi: Amukan Azazil” (2013). Hangat.com rangkumkan semula 7 filem dan drama lakonan Ratu Filem Epik ini yang pernah mencetuskan fenomena.

1. Senario Lagi (2000)

Babak dimana Umie sebagai Linda memandu kereta kuning di dalam ladang getah masih segar dalam ingatan meskipun sudah hampir 18 tahun berlalu. Manakan tidak, lakonannya yang bersahaja bersama kumpulan Senario turut berjaya mencalonkan namanya sebagai Aktres Pembantu Terbaik FFM 15

2. Leftenan Adnan (2000)

Dalam tahun yang sama, Umie turut muncul dalam filem Leftenan Adnan sebagai Sophia Pakih Muda, isteri kepada pejuang Rejimen Askar Melayu Adnan bin Saidi yang maut ketika menentang tentera Jepun di Bukit Candu, Singapura.

Keberkesanan lakonan Umie turut menjadikan namanya tercalon sebagai Aktres Terbaik FFM 15 dan Aktres Terbaik Anugerah Skrin.

3. Embun (2002)

Siapa sahaja yang tidak mengalirkan airmata ketika menonton filem Embun. Mencatat ‘Box-Office’ ketika itu, Umie yang berlakon sebagai pelakon utama filem ini telah memenangi Aktres Terbaik FFM16, Aktres Terbaik Anugerah Skrin ke 6 serta turut tercalon sebagai Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke 47, Seoul, Korea Selatan.

4. Dukun (Siap pada 2006 dan ditayangkan pada 2018)

Tular ketika ini Umie sebagai wanita berkebaya merah ataupun lebih dikenali sebagai Diana Dahlan. Manakan tidak, filem Dukun ini telah digantung tayangannya 12 tahun yang lalu dan kini berjaya ditayangkan. Tidak dinafikan Umie berjaya membawa watak Diana dengan cukup baik!

5. Kekasihku Seru (2008)

Drama seram ini sudah pastinya meninggalkan kesan jika anda masih ingat suatu ketika dahulu. Ketika itu juga ramai yang tidak ingin berganjak dari kaca televisyen semata-mata ingin lihat apakah yang terjadi pada Mas Suri dan keluarganya. Drama ini telah memenangi Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin 2009

6. Waris (2010)

Melihatkan kejayaan drama Kekasihku Seru, pengarahnya Khabir Bhatia telah menyambung rantaian drama ini kepada Waris. Di dalam drama Waris, Umie masih lagi memegang watak sebagai Mas Suri dan suka untuk kami katakan drama ini benar-benar berhantu! Syabas Umie!

7. Sembunyi Amukan Azazil (2013)

Filem ini juga merupakan kenangan manis Umie. Pada Festival Filem Malaysia ke-26 , Umie yang berlakon sebagai Ibu Yani telah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Malah pada tahun yang sama, Umie turut menerima pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.