Suntikan Motivasi Dalam Single Kedua Dari Nastia ‘Untuk Kamu’

Selepas kejayaan single pertama Rapuh di arena arus perdana, kini Nastia kembali dengan single kedua yang berjudul ‘UNTUK KAMU’. Single ini merupakan karya ciptaan vokalis kumpulan ini sendiri Leo Azman bersama Faizal Tahir, Mike Chan dan Romeo. ‘UNTUK KAMU’ diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

Single yang berkonsepkan pop rock ini cuba menyuntik unsur motivasi dalam cubaan memberi inspirasi kepada pendengar, Leo Azman menjelaskan,

“‘Untuk Kamu’ ini mengisahkan jerih perih seseorang yang bercita-cita tinggi untuk mencapai apa yang diingininya. Apa jua motivasinya atau demi siapa jua pun, mereka akan cuba sedaya upaya mencapainya. Lagu mampu mempengaruhi mood kepada sesiapa pun yang mendengarnya. Kami berharap lagu ini dapat memberi semangat kepada pendengar untuk bangkit dan berjuang untuk mencapai apa jua yang diimpikan.”

Lebih menarik lagi, lagu ‘Untuk Kamu’ ini juga seakan-seakan menceritakan kecekalan mereka sendiri dalam menempatkan diri dalam industri hiburan Malaysia. “‘Untuk Kamu’ memang untuk peminat yang setia menyokong kami selama ini. Mereka ada disetiap jatuh bangun kami. Kami harap lagu ini dapat memberikan mereka inspirasi sebagaimana mereka memberi kami inspirasi untuk terus berkarya,”jelas Leo lagi.

Band yang dianggotai empat anak muda yang dikenali sebagai Leo Azman (vokal), Rudy (Gitar), Adzim (Bass) dan Zach (Gitar). Mereka mula bergiat aktif dalam industri muzik sejak tahun 2011 setelah memenangi tempat kedua dalam Battle of the Band anjuran SuriaFM. Pernah mengeluarkan EP debut ‘Xpresi’ pada tahun 2012 dan album ‘Esok Belum Tiba’ pada tahun 2014. Meskipun, lagu-lagu nyanyian mereka seperti Kosong, Sebut Namamu, Sungguh, Hanyut dan Esok Belum Tiba pernah mendapat tempat di hati pendengar, namun nama mereka hanya dikenali oleh penggemar muzik indie.

Mereka kemudiannya bergerak secara mainstream sebagai band pertama di bawah naungan syarikat milik Faizal Tahir, Faithful Music. Setelah mengeluarkan mengeluarkan single pertama mereka yang berjudul ‘Rapuh’ bersama Faithful Music pada tahun lepas, nama Nastia semakin dikenali dan mula mendapat perhatian peminat muzik arus perdana.

Nastia berharap single ini, bukan sahaja akan diterima baik oleh peminat tetapi dapat memberi warna kepada industri muzik tempatan sekaligus mengukuhkan lagi nama mereka dalam ingatan peminat muzik tempatan. ‘UNTUK KAMU’ muzik video boleh ditonton di Youtube Faithful Music dan juga boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula pada 29 Jun 2018.