Bersetuju dengan pandangan penyanyi Dayang Nurfaizah menerusi laporan di Utusan Online baru-baru ini. Persatuan seni di negara ini seharusnya bergabung di bawah satu pertubuhan bagi menyokong sepenuhnya perkembangan industri seni dan budaya. Bagi Dayang, kewujudan mereka terlalu banyak dan ditambah dengan ‘permainan’ politik sesama sendiri membuatkan segelintir pihak muak.

“Semua orang faham tentang kewujudan pelbagai badan dan persatuan yang membela nasib anak seni. Tetapi apabila kewujudan mereka terlalu banyak dan ditambah dengan ‘permainan’ politik sesama sendiri membuatkan segelintir pihak muak. Masalah besar berlaku apabila orang tidak mempedulikan lagi mereka. Akhirnya masing-masing ambil sikap tidak peduli. Ini yang sering kali terjadi,” kata Dayang.

Dayang berkata penggabungan itu antara lain akan dapat memperkukuh kualiti industri seni.

“Sepatutnya anak seni di letakkan di bawah satu bumbung sahaja dan dibahagikan kepada penyanyi, pelakon dan kru belakang tabir. Dengan cara begini akan lebih memudahkan sebarang bantuan mahupun pekerjaan yang hendak disalurkan.”

Terlalu banyak persatuan seni sehingga sukar untuk melahirkan keutamaan yang perlu ada dalam industri seni dan budaya. Maka orang akhirnya tidak lagi mempedulikan kewujudan mereka.

“Apabila kebanyakan persatuan ‘bertembung’ sesama sendiri dan fungsi mereka lebih kurang sama, orang akhirnya tidak lagi mempedulikan kewujudan mereka. Ini sangat berbahaya,” jelasnya.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran


Seperti yang suarakan oleh penulis Harian Metro, Adam Saleh, sebenarnya, jika terlalu banyak persatuan artis muncul, nescaya pihak kerajaan pun bercelaru pihak manakah lebih layak disalurkan dana untuk dimanfaatkan penggiat seni tanah air. Usah nanti mereka yang beria-ria menjadi presiden, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

BACA  Kontroversi 5 Kes Putus Tunang Selebriti Yang Sukar Untuk Dilupakan

Sumber Utusan