Seramai 12 selebriti popular tanah air bakal mempamerkan kebolehan masing-masing beraksi di dapur menerusi program masakan terbaharu, bermula Ahad ini.

Program yang dinamakan Dapur Chef Zam itu akan dikendalikan oleh chef selebriti terkenal, Chef Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali dengan nama Chef Zam yang bakal membawa penonton menerokai pelbagai resipi menarik sepanjang bersiaran selama 12 episod.

12 artis yang diundang beraksi dalam Dapur Chef Zam kali ini dibarisi nama-nama besar seperti Neelofa, Datin Seri Umie Aida, Azrel Ismail, Saharul Ridzwan dan Zulin Aziz. Turut diundang, Amber Chia, Izzue Islam, Mark Adam, Adibah Noor, Haiza, Zara Zya dan Arja Lee.

Ia bakal disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 9.30 pagi di TV Okey yang boleh ditonton menerusi saluran 109 Astro dan 110 MyTV. Selain mengendalikan rancangan itu sebagai chef dan pengacara, Chef Zam juga bertindak sebagai penerbit.

Menerusi setiap episod, penonton akan dihindangkan dengan tiga segmen berbeza iaitu Bakar dan Panggang, Ala Fusion dan Manis. Apa yang menarik, program secara santai dan bersahaja ini akan memberi tunjuk ajar kepada penonton untuk membuat transformasi hidangan yang dipanggil fusion dengan menyuntik elemen baharu dalam juadah tradisional.

Selain perkongsian resipi dan cara memasak, Chef Zam juga  akan memberi tambah nilai informasi dengan memberi tip-tip masakan yang berguna kepada penonton serta banyak rahsia serta teknik masakan juga diajar dan dikongsi.