Masih ingat dengan artis cantik dan juga seorang model terkenal Manohara Odelia Pinot?

Ya, namanya sempat menjadi perbincangan beberapa tahun lalu atas kes melibatkan kerabat diraja Kelantan yang dialaminya. Manohara juga pernah muncul di kaca TV bahkan bermain dalam sebuah sinetron.

Lama tak muncul, penampilan terbaru Manohara ternyata mencuri perhatian. Menerusi akaun instagramnya, Manohara tampil dengan tubuh yang disebut semakin langsing.

Tak hanya itu, menurut laporan dari Grid.ID, wanita yang mesra dipanggil Mano itu kini terjun ke dunia politik. Hal itu terlihat dari muat naik foto akaun Instagram @manodelia pada 21 Mei 2018.

Dalam foto di Instagram itu menampilkan dirinya dengan memakai baju biru sesuai dengan warna parti Nasional Demokrat (Nasdem).

Bersama Manohara ialah dua tokoh terkenal dalam dunia politik Indonesia, Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Ketua Umum Nasdem Surya Paloh.

“Jokowi presidenku, Nasdem partiku,” tulisnya di Instagram mengiringi gambar tersebut.

Bagaimanapun untuk rekod Jokowi bukanlah anggota Nasdem sebaliknya Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Sukarnopurti.

Manohara dijangka bertanding di salah satu kerusi di Jawa Timur. Indonesia akan mengadakan pilihan raya umum ada 17 April tahun depan. Selain Manohara, ada dua lagi artis bakal turun gelanggang dalam pilihan raya bagi wilayah Jawa Timur itu nanti, iaitu ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, dan pelakon filem Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck, Arzeti Bilbina.