Lancar Muzik Video Rasmi, Alyah Beri Sebab Kenapa Pilih Remy Ishak

Alyah baru sahaja melancarkan muzik video lagu barunya iaitu ‘Jutaan Purnama’ di Youtube. Video ini sangat dinanti-nantikan oleh peminat Alyah selepas video lirik “Jutaan Purnama yang dimuatnaik di saluran Youtube Like Music Entertainment sejak 10 Januari 2018 sudah mencecah lebih 200,000 tontonan.

Dimuat naik sebentar tadi, ramai yang memberi komen dan memuji muzik video dan lagu baru Alyah ini.

Video Muzik rasmi ini telah menjalani penggambaran di salah sebuah pusat peranginan tempatan yang popular iaitu di Bala Resort Tanah Rata Cameron Highland, Pahang Darul Makmur.

Penampilan Istimewa Remy Ishak


Dalam video muzik rasmi ini Alyah sekali lagi menampilkan pelakon Remy Ishak sebagai gandingan. Video muzik rasmi ini dilancarkan pada hari ini (26 Julai 2018) di Keriang Hill Alor Setar, Kedah dan ianya boleh ditonton di YouTube Warner Music Malaysia.

Bertanya mengapa pilih Remy, Alyah mengakui dirinya senang berkolaborasi dan selesa bergandingan dengannya.

“Remy sudah saya anggap seperti sahabat saya. Dia merupakan seorang pelakon yang baik dan selalu beri saya tunjuk ajar dalam lakonan. Senang untuk saya berlakon dengan Remy” katanya.

Ahli Media Berkampung Di Keriang Hill


Menariknya pada kali ini, ahli media termasuk wartawan dibawa oleh pihak Warner Music Malaysia menginap di Keriang Hill, Alor Setar selama 3 hari 2 malam sempena pelancaran ini. Jutaan terima kasih kepada pihak penaja dan juga Cindai Mahsuri serta Redzuan Harun Couture diatas kesudian untuk turut bersama-sama menjayakan majlis hari ini.