Penyanyi dan chef selebriti yang terkenal, Datuk Fazley Yaakob pernah meluahkan hasrat bersanding semula dengan isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz. 

Fazley berkata, dia akan mengotakan janji itu pada November depan dan mahu melakukan majlis tersebut secara sederhana dengan menjemput rakan-rakan serta media yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinannya 12 tahun lalu.

“InsyaAllah perancangannya bulan November depan kerana kami bernikah pada 7 November, mungkin dalam minggu itu. Persiapan sudah dirancang atas kertas cuma belum secara fizikal. Tapi ia bergantung juga kepada jadual saya dan isteri serta selesaikan urusan anak-anak dulu.

“Dulu saya jemput 100 orang media ke majlis itu tapi lapan orang sahaja yang datang, malah ada yang datang itu diberhentikan kerja.

“Ada rakan media yang hubungi saya minta maaf tak dapat datang dan ketika itu mereka minta saya buat lagi majlis jika ada rezeki untuk mereka datang.

“Selain itu juga pesanan arwah ayah saya sebelum dia meninggal,” Katanya Pada Mstar Online.

Fazley dan Azrene berkahwin pada 2007 dan perkahwinan itu penuh kontroversi apabila ibu Azreen iaitu Datin Seri Rosmah Mansor tidak merestuinya.

Azrena adalah anak Rosmah, hasil perkahwinan dengan suami terdahulu iaitu Abdul Aziz Nong Chik. Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga pula, Fazley berkata, dia tidak merancang untuk menambah cahaya dalam masa terdekat.

“Buat masa ini tutup kedai dahulu, cukup empat orang dan kami mahu fokus membesarkan mereka terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma yang kini berusia tujuh bulan.

Hangat.com mendoakan agar majlis yang akan berlangsung berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan, in shaa Allah.

Sumber : Mstar Online