Ketika ini drama Jangan Benci Cintaku arahan Pali Yahya merupakan antara drama yang menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen sehingga trending di media sosial. Drama 28 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn.Bhd itu membariskan ramai pelakon terkenal seperti Saharul Ridzwan sebagai Shahrizal Hayrat atau Shah, Zahirah MacWilson sebagai Rafeeqa Huda, Niena Baharun (Husna), Izzue Islam (Syazwi), Azizah Mahzan (Nek Pah) dan Daler Yusuf (Irwan).

4 Isu Ini Tular Kerana Jangan Benci Cintaku


Penangan drama tersebut boleh dikatakan ramai yang begitu emosi apabila menonton drama ini. Lebih mengejutkan sehingga melibatkan ugutan kepada pelakon-pelakon filem ini. Hangat.com bawakan 4 isu tersebut yang kini tular di media sosial.

Pak Nil Maki ‘Shah’ Di Instagram


Bukan sahaja netizen, malah para selebriti turut menyokong dan menonton filem ini. Namun begitu, itu bukanlah bermakna mereka tidak mendalami drama tersebut kerana ada diantaranya turut beremosi termasuk selebriti terkenal, Datuk Aznil Hj Nawawi ataupun lebih dikenali sebagai Pak Nil. Seperti artikel kami terdahulu, Pak Nil telah memaki seseorang di Instagramnya dipercayai kerana terlalu geram dengan watak Saharul sebagai Shah.

Saharul Diugut Bunuh


Benar! Inilah yang terjadi apabila Saharul menerusi Instagram nya mendedahkan bahawa dia diugut bunuh oleh seorang peminat kerana watak Shah.

Malah dia turut berharap agar penonton tidak terlalu terpengaruh dan membenci mereka kerana watak-watak yang ditonjolkan dalam drama tersebut.

Suami Dikurung 3 Hari


Terbaru, tular di media sosial apabila netizen heboh memperkatakan mengenai seorang suami yang dikurung oleh isterinya selama 3 hari. Kejadian tersebut dipercayai berpunca dari suaminya yang cuba menghalang isterinya itu daripada menonton drama berkenaan. Padahnya dia telah dikurung dalam sebuah kandang besi sebelum diselamatkan orang ramai.

Peminat Minta Nasihat Zahirah


Dalam perkembangan lain, Zahirah atau lebih mesra sebagai Ira ketika ditemui Hangat.com berkata terdapat ramai peminat yang telah Direct Message (DM) beliau di Instagram. Semuanya kerana terbawa dengan drama tersebut dan mereka turut meminta nasihat rumahtangga daripada pelakon ini.