Filem terbaik kadangkala bukanlah terletak pada pelakonnya semata-mata. Malah segala aspek turut diambil kira sehingga peminat menganggap ianya sebagai satu naskhah yang terbaik.

4 Filem Berskala Mega


Tidak dinafikan, banyak filem tempatan yang terbaik pernah dihasilkan oleh pengarah-pengarah filem. Namun kali ini suka untuk kami ulaskan kembali 4 filem yang bagi kami layak diletakkan sebagai berskala mega. Bukan sahaja dari kos pembikinannya, malah filem ini juga turut menarik perhatian ramai sehingga diterbitkan sebuah dokumentari khas dan turut menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara.

4Puteri Gunung Ledang (2004)

Biarpun pada awal pembikinan filem ini menerima pelbagai kontroversi, namun filem Puteri Gunung Ledang ini berjaya meletakkan nama mereka sebagai salah sebuah filem terbaik tempatan.

Menelan belanja hampir 16 juta, pelbagai warna dapat dilihat serta sisi lain Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang telah ditonjolkan menerusi pelakon-pelakonnya. Malah lagu temanya, Asmaradana masih lagi mendapat sambutan dan turut digunakan dalam pelbagai seni budaya dan teater sehingga ke hari ini.

3Magika (2010)

Magika merupakan sebuah filem muzikal fantasi Malaysia arahan sulung Edry Abdul Halim yang dibintangi oleh Diana Danielle, Mawi, Ziana Zain, Datuk M. Nasir, Ning Baizura, Nabil, Saiful Apek, Senario dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan dua adik-beradik yang menemui sebuah alam fantasi yang berasaskan pelbagai kisah dongeng, mitos dan legenda Melayu ternama. Biarpun kos filem ini dilaporkan menelan belanja RM 2.40 juta namun ianya berjaya mencapai kutipan 3.14 juta di panggung wayang selain turut menerima pelbagai anugerah dan pencalonan.

2Hikayat Merong Mahawangsa (2011)

Hikayat Merong Mahawangsa (atau The Malay Chronicles: Bloodlines untuk pasaran dunia,Clash of the Empires untuk pasaran United Kingdom) adalah sebuah filem epik/sejarah Melayu yang diterbitkan oleh KRU Studios dan diarahkan oleh Yusry Abdul Halim. Dibintangi oleh Stephen Rahman Hughes, Datuk Haji Rahim Razali, Khir Rahman, Ummi Nazeera, Datin Seri Umie Aida, Jing Lusi dan Gavin Stenhouse, filem ini merupakan filem tempatan kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang dengan kos perbelanjaan sebanyak RM 8 juta.

Menariknya lagi filem ini telah mengungguli Festival Filem Malaysia ke-24 dengan 8 kemenangan dari 13 pencalonan (termasuk Filem Terbaik selain mencatat rekod sebagai filem dengan kutipan tertinggi di antara pemenang Filem Terbaik FFM iaitu sebanyak RM 6.50 Juta. Tidak cukup dengan itu,KRU Studios mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah dokumentari berbelanja RM80 ribu untuk disiarkan di TV3 selain turut ditayangkan di 70 negara.

1Pulang (2018)

Pulang diangkat berdasarkan dari kisah benar seorang kelasi kapal pada 1940-an yang juga datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Izham Omar . Kos pembikinan filem ini dianggarkan berjumlah RM 6 juta, manakala kos bagi imej janaan komputer (CGI) dilaporkan berjumlah RM2 juta.

Pulang telah dimuatkan dengan unsur-unsur dramatik dan turut menampilkan kisah yang pastinya cukup tragis dalam era yang berbeza. Malah sebuah dokumentari khas mengenai kisah benar filem ini turut dipertontonkan menerusi Majalah 3. Dikhabarkan, filem yang menampilkan Remy Ishak, Puteri Aishah dan Azrel Ismail ini telah mencatat 1 juta kutipan kurang dari seminggu ditayangkan.