Aziz Harun & Hannah Delisha Cipta Magis Dalam Single Terbaru

Sebuah karya melangkaui sempadan negara, itulah magis yang cuba dicipta Aziz Harun dan Hannah Delisha menerusi single duet mereka yang berjudul ‘Hana’ hasil ciptaan penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir bersama Mike Chan dan Romeo.

Single terbitan bersama oleh Faithful Music dan Warner Music Malaysia ini diharap dapat memberi nafas segar kepada industri muzik di rantau ini apabila ianya menggandingkan dua anak muda berbakat besar berasal dari Brunei dan Singapura yang menyanyikan karya ciptaan anak watan Malaysia.

“Kami berharap gandingan Aziz yang berasal dari Brunei dan Hannah yang berasal dari Singapura menerusi lagu ‘Hana’ ini dapat memartabatkan lagi muzik tempatan di rantau ini,” ulas Anne Mukhtar, Pengurus Promosi dan Pemasaran Bahagian Dosmestik Warner Music Malaysia.

Bakal memberikan lebih impak, lagu ini turut diangkat sebagai runut bunyi drama ‘Alamatnya Cinta’, sebuah karya adaptasi daripada drama popular Korea ‘Full House’. Drama arahan Bernard Chauly dan dibintangi oleh Hannah Delisha dan Hisyam Hamid ini bakal ditayangkan di Astro Ria pada 20 Ogos nanti.