Setelah 9 tahun kematian Michael Jackson, anak-anak beliau iaitu Paris dan Prince, dua saudara lelakinya, Tito dan Jackie serta penyanyi R&B, Usher menyambut ulang tahun mendiang Micheal Jackson yang ke 60.

 Dalam masa sama, anak dan anggota keluarga Raja Pop dunia itu turut melancarkan acara lelongan dan menerima pingat pada majlis mengingati mendiang. Difahamkan, seramai 1,500 tetamu menyertai di Las Vegas semalam untuk pertunjukan Cirque du Soleil, ‘One’, berdasarkan muzik oleh penyanyi ‘Thriller’ itu.

Jackson meninggal dunia di Los Angeles pada Jun 2009 kerana dos berlebihan ubat pelali yang digunakan untuk membantu beliau tidur. Doktor peribadinya, Conrad Murray, dipenjarakan dua tahun kerana menyebabkan kematian Jackson disebabkan kecuaiannya.

Paris, 20 dan Prince, 21, menerima Anugerah Legasi Yayasan AIDS Elizabeth Taylor bagi pihak bapa mereka. Taylor, yang meninggal dunia pada 2011, ialah rakan rapat Jackson dan Paris menjadi duta yayasan itu.

“Ini adalah satu penghargaan untuk berada di sini mengenai sesuatu yang cukup disukai bapa saya,” kata Prince.

Mereka turut melancarkan lelongan sepasang kasut ciptaan terbaru bertatahkan delima dan berlian yang dijangka mencecah lebih AS$50,000 (RM205,000) pada jualan November ini. Hasil jualan akan disalurkan kepada yayasan AIDS berkenaan.