Bekas juara Gegar Vaganza musim ke-2, Siti Nordiana kini sudah bersedia untuk berkongsi kebenaran di sebalik krisis rumah tangga sehingga menyebabkan dia bercerai dengan bekas suaminya, Allahyarham Faizal Yusup.

Dipetika dari Utusan Online, Nana berkata sehingga hari ini, belum ada seorang pun benar-benar tahu punca sebenar mereka berdua bercerai setelah selama lebih tiga tahun bersama. Nan dan Faizal bernikah pada 29 April 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie yang lahir pada 21 Mac 2008.

Mengenangkan kembali kisah perceraian ini, Nana akui berasa sangat sedih. Selepas pemergian arwah ke rahmatullah pada 1 Januari 2011, dialah individu tunggal yang mengetahui kisah dalam kelambu perkahwinan mereka.

“Saya berasa amat hiba dan sebak tatkala mengingat kembali masa lalu. Saya tidak sangka akan tempuhi dugaan seberat itu dan Alhamdulillah, berjaya juga laluinya.”

Akhirnya Nana telah meluahkan isi hatinya dengan menerbitkan buku biografi berjudul Life Goes On yang dilancarkan baru-baru ini. Seperti dikatakan oleh Nana, buku itu adalah hasil nukilannya sendiri biarpun bersedih mengenangkan memori suka duka yang dilalui sewaktu hidup di samping Faizal.

“Sebanyak 80 peratus rahsia rumah tangga yang disimpan rapi selama ini, turut saya kongsikan. Bakinya tidak perlu didedahkan demi menjaga hati banyak pihak termasuk keluarga bekas mentua,” katanya.

Apakah yang terkandung dalam buku ini? Dapatkan segera di kedai-kedai buku yang berhampiran. Kami berharap perkongsian Nana ini memberi manfaat serta inspirasi kepada orang lain.