Berita sedih untuk peminat setia Superman, kerana DC Comics baru sahaja mengumumkan satu berita yang agak mengejutkan buat rangkaian watak adiwira itu yang sekian lama ditayangkan sebelum ini.

Tiada Lagi Henry Sebagai Superman

Bukan sahaja Superman, malah pelakon yang sinonim dengan watak Superman, Henry Cavill juga dikhabarkan tidak lagi memegang watak adiwira tersebut pada masa akan datang. Henry mula menyarungkan sut Superman pada 2013 menerusi Man of Steel dan kemudiannya membintangi Batman VS Superman: Dawn of Justice pada 2016 dan tahun lepas muncul dalam Justice League.

Meskipun begitu, Justice League bukanlah kemunculan terakhir Henry kerana dia bakal membuat kemunculan istimewa dalam filem DC akan datang, Shazam! yang dijadualkan tayangannya pada 5 April 2019.

Beri Laluan Untuk Filem Supergirl

Meskipun begitu, watak Superman bukanlah dimatikan untuk selama-lamanya.Ini kerana DC dan juga Warners kini ingin memfokuskan pada filem Supergirl yang akan memaparkan kisah sebenar gadis luar biasa ini yang turut mempunyai pertalian darah dengan Superman.

Jika benar mengikut jalan ceritanya, Superman atau Kal-El pada kisah hidup Supergirl masih lagi kecil. Selain filem Supergirl, tiga adiwira akan muncul dalam filem mereka tersendiri tidak lama lagi bermula dengan Aquaman, The Flash dan filem kedua Wonder Woman. Barangkali kita akan melihat Superman muncul semula dalam 5 tahun akan datang. Siapakah yang sesuai untuk menggantikan Henry sebagai Superman?