Hujung bulan yang lalu, pelakon filem Paskal Hairul Azreen dan Ammar Alfian dikecam hebat gara-gara mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hampir diculik oleh lanun di perairan Sabah ketika menjalani penggambaran filem itu. Menolak dakwaan tersebut, pihak Kawasan Ke­selamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berkata kenyataan itu sama sekali tidak benar dan mahu berjumpa kedua-dua pelakon ini bagi mendapatkan kenyataan lanjut daripada mereka.

Bakal Berjumpa ESSCOM Hari Ini

Terbaru, ketika ditemui Hangat.com Hairul berkata dia dan Ammar bakal bertemu dengan pihak ESSCOM hari ini berhubung isu mereka yang kononnya hampir diculik di kawasan pelantar minyak perairan Sabah. Ekoran dakwaan itu, segelintir netizen mengecam kenyataan mereka malah turut menganggap ianya seperti satu gimik bagi mempromosikan filem Paskal.

Enggan Keluarkan Kenyataan Lanjut

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu ini, Hairul walaubagaimanapun tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana khuathir bakal berlaku salah faham seperti kenyataannya sebelum ini yang menimbulkan kontroversi.

“Kami akan  bertemu dengan pihak Esscom pada esok hari (Rabu). Saya minta maaf tak boleh nak ulas lanjut mengenai perkara ini dan tunggu sahaja nanti,”

Segalanya bakal terjawab hari ini dan sama-sama kita nantikan kenyataan lanjut daripada pelakon-pelakon ini berkenaan isu hampir diculik di perairan Sabah. Filem Paskal akan mula ditayangkan serentak di pawagam seluruh tanah air bermula 27 September ini. Selain Hairul dan Ammar, filem yang menelan belanja sebanyak 10 Juta ini turut membariskan ramai pelakon terkenal seperti Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Namron dan Jasmin Suraya Chin.