Tidak perlu diperkenalkan lagi, Allahyarhamah Yasmin Ahmad merupakan seorang pengarah terkenal dan karya-karyanya sebelum ini sentiasa dinanti-nanti kerana berjaya meninggalkan ‘kesan’ dalam hati rakyat Malaysia.

Koleksi Peribadi Yasmin Ahmad Dalam Yasmin I Lup Chew

Meskipun sudah tiada lagi, karyanya sentiasa tersemat di hati malah masih dikenang sehingga ke hari ini. Mahu meneruskan ‘legasi’ arwah Yasmin, buku keduanya yang berjudul Yasmin I Lup Chew telah dilancarkan pada hari ini.

Bukan sahaja memaparkan pesanan dan juga karya-karyanya yang tidak pernah diterbitkan di dalam buku ini juga terselit beberapa helai naskhah surat, nota, serta gambar-gambar peribadi Yasmin yang disematkannya suatu ketika dahulu di dalam sebuah kotak kasut. Disitulah tersimpannya beberapa barangan peribadi miliknya yang boleh dilihat menerusi Yasmin I Lup Chew.

Datin Orked Ahmad Sebak

Pelancaran buku itu telah dirasmikan sendiri oleh adik kandungnya, YBhg Datin Orked Ahmad dan Tan Kien Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Publicis One Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Leo Burnett Malaysia. Sewaktu perasmian, kelihatan Orked beberapa kali mengalirkan air mata menahan sebak kerana menurutnya dia begitu terharu akan mereka yang datang memberi sokongan dan merindui akan kakak kesayangannya itu.

“Saya sebenarnya tadi sebak sebab ramai yang hadir memberi sokongan meskipun Allahyarhamah sudah tiada. Meskipun dia tidak menyukai publisiti seakan-akan mengenang akan pemergiannya, tapi saya percaya ini adalah sedikit sebanyak usaha saya untuk memastikan legasi dan karya kakak saya terus dikenang”

Berharga RM 49.90, Yasmin I Lup Chew kini boleh didapati di Kinokuniya KLCC dan www.yasminahmad.com manakala bagi edisi terhad kotak kasut buku ini ianya berharga RM299. Setiap hasil jualan akan disalurkan ke Persatuan Yasmin Ahmad yang berterusan bersedekah, berkongsi ilmu dan berdoa untuk Arwah Yasmin. Al-Fatihah.

Artikel SebelumnyaNetizen Hilang Rasa Hormat Pada Fathia Latiff Kerana Kontroversi Berpanjangan
Artikel Seterusnya[FOTO] Elfira Loy Mengaku Sudah Bertunang Dengan Faris K Anuar?
Khai Azfar
Writes to Express Not to Impress