Pak Ngah atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Mohd. Zain merupakan individu yang begitu dikenali dalam industri hiburan Malaysia terutamanya bagi penggiat Irama Malaysia. Masih segar dalam ingatan kami, tatkala melihat kelibat Pak Ngah yang sering bermain akordion mengiringi persembahan-persembahan anak didiknya.

5 Penyanyi Yang Sedih Dan Terkejut Dengan Pemergian Allahyarham Pak Ngah

Kini, gelagat tersebut tidak akan dapat lagi dilihat apabila negara dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Pak Ngah dan jenazahnya juga telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Ampang Kampung Baru semalam.

Berita yang mengejutkan itu begitu memberi kesan buat peminat-peminat Irama Malaysia terutamanya buat penyanyi-penyanyi yang telah berjaya hasil dari tunjuk ajar Bapa Irama Malaysia ini. Hangat.com rangkumkan ucapan sedih dari 5 penyanyi yang juga anak didiknya suatu ketika dahulu.

1Dato Sri Siti Nurhaliza

Untuk anda yang tidak tahu, konsert pertama Dato Sri Siti Nurhaliza telah diarahkan oleh Pak Ngah sendiri. Mengganggapnya sebagai seorang bapa,kehilangan Pak Ngah bagi Siti adalah satu kehilangan yang besar buatnya.

“Segala kenangan, gurau senda dan didikan Pak Ngah akan tetap dalam ingatan. Selain arwah Adnan Abu Hassan, beliau antara individu yang saya mula-mula bekerjasama dalam menyanyikan lagu-lagu tradisional,”

2Noraniza Idris

Seperti sudah sinonim dengan Pak Ngah, lagu Noraniza Idris juga banyak mendapat sentuhan dari ikon itu. Menurut Noraniza, Pak Ngah merupakan antara individu yang banyak membentuk kariernya sebagai seorang penghibur.

“Pak Ngah, Sememangnya harini menjadi sejarah buat semua rakyat Malaysia kerana kita kehilangan sebutir permata negara yang banyak menaburkan baktinya untuk selama-lamanya . Pemergiannya di ambang tahun kelahirannya yg ke-60. Perjuangannya jelas . Saat Irama Malaysia masih terkapai- kapai memerlukan kehadirannya, dia pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Redha.. dan terus redha. Sampai masanya dia pergi dan kami telah sedia redha..”

3Syura

Penyanyi Syura Badron mengakui berasa sangat terkesan dengan kehilangan Pak Ngah kerana tahu tiada pengganti untuk insan seperti ini. Tambah Syura, dia antara artis yang banyak menghabiskan masa bersama Pak Ngah dan sudah merancang sesuatu pada masa akan datang namun ianya kini menjadi tanda tanya mengenai siapakah yang akan meneruskan legasi tersebut.

” Terlalu banyak pengalaman saya bersama dengan nya .. terima kasih di atas segala ilmu yang pernah dicurahkan, serta segala nasihat yang diberikan sepanjang hayatmu … tenanglah Pak Ngah di sana.. Al-Fatihah”

4Wany Hasrita

Antara penyanyi yang mendapat karya ‘terakhir’ dari Pak Ngah, akui Wany Hasrita dia masih terkejut menerima berita pemergiannya. Pernah berkolaborasi untuk lagu Ewah Ewah jelas Wany dia begitu bertuah kerana menyanyikan lagu Allahyarham dan akan mempraktikkan sebaik mungkin segala ilmu dan tunjuk ajar yang diberi.

“Belasungkawa. Pak Ngah, terima kasih atas tunjuk ajar, walaupun sebentar cuma, cukup istimewa buat wany. Al-Fatihah”

5Shiha Zikir

Menurut Shiha, dia terkilan kerana tidak berkesempatan untuk menerima ‘sentuhan’ Pak Ngah meskipun ianya telah dirancang sebelum pemergiannya. Begitu dekat di hati, segala nasihat yang diberi akan dikenang sampai bila-bila untuk Shiha teruskan perjuangannya dalam memartabatkan irama Malaysia.

“Pak Ngah, segala ilmu-ilmu yang Pak Ngah share dulu,nasihat,budi baik Pak Ngah sentiasa Shiha kenang sampai bila-bila.Terasa kehilangan begitu besar dalam arena seni budaya.Nampaknya hajat Shiha tak kesampaian nak buat lagu irama malaysia hasil ciptaan Pak Ngah walaupun kita pernah bincang pasal ini di whatsapp beberapa bulan lalu. Ini kali kedua hajat Shiha tak kesampaian..Yang pertama nak buat single duet dengan Ummi (Datuk Sharifah Aini),dan ini kali kedua..Sungguh Allah menyayangimu PakNgah.Selamat Hari Lahir buat PakNgah..Hanya Al-Fatihah dan doa yang Shiha hadiahkan buatmu”