Wany Hasrita boleh dikatakan antara penyanyi yang ‘nama’ nya bersih dari mana-mana kontroversi. Jika ada sekalipun, ianya hanyalah gosip percintaan yang dikaitkan dengan beberapa orang penyanyi lelaki.

Sering Berduet Dengan Tajul Kerana Komitmen

Ini termasuklah dikaitkan dengan penyanyi remaja popular, Tajul setelah mereka berdua sering kali digandingkan bersama menerusi beberapa buah lagu duet. Seperti mengimbau kembali keserasian Allahyarham Achik Spin dan Siti Nordiana, keserasian Wany dan Tajul juga telah dianggap ‘sesuatu’ oleh peminat mereka.

Menolak dakwaan kononnya mereka bercinta, menurut Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26 mereka hanyalah berkawan dan gandingan tersebut juga telah diaturkan memandangkan kedua-dua mereka bernaung di bawah label yang sama, FMC Music.

“saya rasa semua orang tahu, kami bernaung di bawah FMC Music, jadi benda itu mudah situ, paduan suara sama, jadual perjalanan aktiviti juga mudah diuruskan oleh pihak syarikat, jadi disitulah terjadinya kolaborasi antara kami”

Hanya Berkawan Dengan Fairuz Selamat

Satu lagi dakwaan turut mengatakan Wany kini sedang intim dengan bekas vokalis kumpulan QFace, Fairuz Selamat. Namun begitu, menurut Wany dia sudah lama mengenali Fairuz sebelum menceburi bidang seni.

Perkenalan mereka juga tidak dirancang memandangkan mereka mula berkenalan menerusi aplikasi Smule. Sejak tularnya lagu duet mereka di aplikasi itu, Wany disunting oleh pihak FMC Music sebagai artis rakaman mereka dan tidak menolak Fairuz antara insan yang membantunya dalam karier seni.

“Sebenarnya saya kenal Abang Fairuz dah lama. Mengenai hubungan pula, boleh dikatakan kami adalah pasangan Smule sebab kami mula kenal menerusi aplikasi itu”

Wany ditemui Hangat.com ketika di siri jelajah Dbilique di Kompleks PKNS Shah Alam yang dikendalikan oleh Faizal Ismail dan Fara Fauzana. Dalam siri itu turut dimeriahkan oleh pengamal media sosial terkenal Faiz Dickie dan kelab penyokong Wany Hasrita. Dbilique akan bersiaran secara langsung di trak bersama tetamu selebriti, di lokasi jelajah yang berbeza.