Setelah mendiamkan diri buat seketika mengenai isu yang membabitkan dirinya dan juara Gegar Vaganza musim keempat, Aishah mengenai barangan kemas yang didakwa palsu akhirnya, Dato Seri Vida ‘membuka mulut’ menerusi sebuah sidang media khas yang diadakan semalam.

Tuntut Tiga Perkara

Dalam sidang media itu, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman membuat tiga tuntutan pada Aishah termasuk membuat permohonan maaf kerana menggunakan perkataan ‘berlian palsu’ terhadap barang kemas yang dihadiahkan padanya. Tuntutan itu dibuat kerana tuduhan tersebut telah memberi impak yang besar kepada perniagaannya sehingga dikhabarkan mengalami kerugian sebanyak 70 peratus.

“Dahlah bagi perkataan palsu, awak tahu tak impak tu habis rosak keseluruhan bisnes saya terutama kedai emas saya terjejas teruk. Tak pasal-pasal sebab satu perkataan itu habis rosak susu sebelanga. Jumlah kerugian sales merudum 70 peratus, merudum kedai emas saya termasuk produk-produk saya,”

Selain itu, usahawan itu turut mengajak Aishah untuk bersemuka bagi menjernihkan kemelut antara mereka selain tuntutan seterusnya meminta penyanyi itu memadam segala kenyataannya berkaitan ‘berlian palsu’ itu di media sosial.

BACA  [VIDEO] Sam Innuendo Pengsan Kena Prank Pontianak di Gegar Vaganza

Sedia Maafkan Aishah

Tambahnya lagi tuntutan tersebut telah dihantar kepada peguam Aishah melalui satu surat yang dihantar pada Selasa. Mengenai isu tuntutan Aishah pula, dia sanggup memohon maaf kepada penyanyi itu sekiranya Aishah sanggup menunaikan tiga tuntutan tersebut.

Usahawan kosmetik itu juga bersedia untuk menggantikan rantai berlian tersebut dengan barang kemas lain yang sama nilai berdasarkan penilaiannya. Tuntutan tersebut haruslah dipenuhi dalam masa tujuh hari dan sekiranya Aishah gagal berbuat demikan, tindakan mahkamah akan diteruskan oleh pihak Vida. Semoga kedua-duanya dapat berdamai semula!