Sesebuah acara mahupun program Televisyen itu tidak akan lengkap tanpa dikendalikan pengacara majlis yang baik. Malah lazimnya pengacara ini digandingkan bersama bagi memeriahkan lagi acara tersebut.

Gandingan 10 Pengacara Yang Paling Serasi

Dari pemerhatian kami, terdapat beberapa gandingan pengacara-pengacara ini dilihat begitu serasi malah peminat juga mahu mereka dikekalkan untuk beberapa acara lain. Untuk itu, Hangat.com bawakan 10 gandingan pengacara yang dikhabarkan sebagai paling serasi sepanjang zaman!

1Raja Azura Dan Sharifah Shahirah

Gandingan dua pengacara dan pelawak ini antara yang disebut-sebut sepanjang zaman. Manakan tidak jika dahulu mereka sering kali menjadi pilihan sebagai pengacara utama dalam sesebuah program hiburan. Keletah dan lawak spontan yang dibuat mereka begitu mencuit hati dan menghiburkan! Sehingga kini, ramai yang merindui mereka untuk kembali menghiasi pentas-pentas acara hiburan tanah air.

2Faizal Ismail Dan Fara Fauzana

Bermula dari konti radio menerusi slot pagi di HotFM sehinggalah ke hari ini, kedua-dua rakan baik ini begitu dikenali ramai sebagai gandingan yang cukup serasi. Jika tiada Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, maka ‘seri’ rakan pengacaranya, Fara Fauzana seperti hilang taring begitulah sebaliknya. Meskipun tidak lagi berkhidmat di mana-mana stesen radio, namun peminat masih lagi boleh melihat gandingan mereka menerusi program DBilique sebuah saluran digital di media sosial yang semakin dikenali!

3Alif Satar Dan Sherry Al-Hadad

Sejak kebelakangan ini, ramai yang menyebut Alif Satar dan Sherry Al-Hadad sebagai gandingan yang cukup serasi. Dilihat sempurna dan professional disamping bersahaja, sebut sahaja program hiburan seperti AJL dan yang terbaru Big Stage, keserasian mereka kini seperti ‘ditagih’ dan peminat mahukan kedua-dua pengacara ini menjadi pilihan utama kebanyakan stesen televisyen mengendalikan acara-acara hiburan terbitan mereka.

4Nabil Ahmad Dan Jihan Muse

Sebelum ini, kedua-duanya hanya tampil sebagai pelawak. Namun apabila bakat mereka dalam bidang pengacaraan mula dilihat kebanyakan pihak, kedua-duanya mula digandingkan bersama dalam program Gegar Vaganza. Untuk 5 tahun berturut-turut, Nabil Ahmad dan Jihan Muse dikekalkan dalam program itu selepas gandingann mereka dilihat begitu serasi dan seperti tidak lengkap GV tanpa mereka.

5Halim Othman Dan Linda Onn

Sebelum gandingan FBI dan Fara Fauzana dikenali ramai, kedua-dua penyampai radio dan pengacara ini iaitu Halim Othman dan Linda Onn dikatakan sebagai gandingan paling serasi. Masih segar dalam ingatan kami pada suatu ketika dahulu, ramai yang sanggup curi masa untuk mendengar keletah mereka di stesen radio ERA. Meskipun tidak pernah mengacarkan mana-mana program bersama di luar, gandingan serasi mereka di corong radio masih dirindui sehingga ke hari ini. Best of the best!