Ngeri! Luna Maya Kongsi Pengalaman Ditanam Hidup-hidup

Kejayaan filem THE DOLL 2 yang dibintangi Luna Maya diharapkan akan berterusan dengan spin-off filem terbaru SABRINA. Filem ini masih mempamerkan lakonan mantap Luna sebagai watak utamanya yang bernama Maira.

Siapa sangka, watak ini bukan semudah yang disangka. Menerusi temubualnya bersama Utusan Online, Luna berkongsi pengalaman ngeri ketika menjalani sesi penggambaran. Luna mengakui babak ditanam di dalam pasir adalah babak yang sangat mencabar dan menakutkan.

Luna sangkakan pelakon ganti yang akan melakukan babak tersebut. Namun sangkaannya meleset apabila pengarah, Rocky Soraya meminta dia memasuki lubang pasir tersebut.

“Sebenarnya saya tidak bersedia untuk babak itu kerana saya sangka pelakon ganti yang akan melakukannya. Ketika penggambaran, pengarah mahu saya melakukannya kerana dia mahu merakam wajah saya ditimbusi pasir.

“Babak tersebut dibuat sebanyak tiga kali dan saya perlu menahan nafas selama 15 saat untuk setiap rakaman. Sejujurnya, rakaman babak itu membuatkan saya sangat penat,” ulasnya.

Filem akan ditayangkan di beberapa negara dalam Asia. Selain Singapura, Thailand, dan Hong Kong, pihak produksi kini sedang berusaha menambah negara tayangan filem ini.