Berita kehamilan Meghan Markle membuatkan ramai yang gembira lagi-lagi warga England. Meskipun buah hati Meghan Markle dan Putera Harry dijangka akan lahir pada pertengahan tahun depan namun sudah ramai berspekulasi tentang jalan nasib anak mereka.

Salah satunya ramai membuat andaian mengenai gelaran yang akan disandang anak Meghan Markle kelak.

Apakah bayi itu akan menyandang gelaran puteri dan putera seperti anak-anak Putera William dan Kate Middleton?

Ternyata menurut sebuah peraturan diraja, anak Meghan Markle dan Putera Harry, tidak mungkin menyandang gelaran ini. Dipetik dari Time, Selasa (16/10/2018), hal ini berdasarkan titah Raja George V yang dikeluarkan pada 1917.

Kandungannya, perintah  ini menyebutkan bahawa cicit-cicit dalam keluarga Kerajaan Inggeris, hanya anak lelaki tertua dari garis keturunan monarki yang menyandang gelaran putera atau puteri. Ini bermakna, sebenarnya hanya Putera George yang boleh menyandang gelaran ini.

Selain Putera George, seluruh cicit lain dari Ratu akan bergelar Lord atau Lady. Mereka juga tak akan dipanggil sebagai “His Royal Highness” atau “Her Royal Highness.”

Keputusan ini diambil Raja George V kerana saat itu kekuasaan kerajaan di Eropah dan negara lainnya mulai runtuh.

Namun, ternyata hal ini bukanlah muktamad. Ratu Elizabeth II masih boleh mengeluarkan titah untuk memberikan gelaran puteri atau putera kepada anak Meghan Markle.

Hal ini, sudah ia lakukan pada 2013. Kala itu, beberapa bulan sebelum Putera George lahir, baginda mengeluarkan titah untuk memberi gelaran putera dan puteri kepada semua anak Putera William dan Kate Middleton.

Jadi, adakah baginda akan mengeluarkan titah yang sama untuk anak Putera Harry dan Meghan Markle? Kita nantikan!