Pada 21 Oktober ini, Jimba Fest Tour akan menjelajah ke Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Batu Pahat, Johor. Jimba Fest Tour dilancarkan oleh Warner Music Malaysia (WMM) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi).

UTHM bakal dimeriahkan oleh barisan-barisan artis seperti Maya Karin, Datin Alyah, Awi Rafael, Aziz Harun, Kaka Azraff, Andi Bernadee, Amir Hasan, Wan Shahjuddin dan Mel Ramlan. Siri jelajah universiti yang sudah masuk tahun keenam (ke-6) ini merupakan suatu platform yang disediakan oleh Warner Music Malaysia untuk membawa pengkarya seni muzik masuk ke Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bagi mendekati demografi golongan pengguna muzik terbesar di Malaysia iaitu generasi belia.

Platform ini juga digunakan untuk memperkenalkan artis-artis baru di bawah naungan label Warner Music Malaysia dan juga memberi peluang kepada para artis untuk mempromosikan karya terbaru mereka.

Selain daripada berhibur, jelajah ke UTHM pada 21 Oktober ini turut memberi ruang kepada para artis yang hadir untuk bertemu peminat dengan lebih dekat lagi.

Di samping itu, Digi juga akan mengadakan pertandingan Digi Idol semasa jelajah itu. Digi Idol adalah sebuah pertandingan mencari bakat terpendam melalui aplikasi Smule.

Pemenang bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 500 dan juga berpeluang untuk membuat persembahan pembukaan sebelum bermulanya konsert daripada artis-artis Warner Music Malaysia.