Tujuannya untuk tidak menghebahkan majlis pertunangannya dengan jejaka bernama Faris, 27, pelakon kecil molek, Elfira Loy, 24, memberitahu bahawa ia adalah atas permintaan kedua belah pihak keluarga.

Menurut Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, memandangkan tunang dan bakal keluarga mertuanya bukanlah dalam kalangan selebriti, maka Elfira menghormati privasi mereka yang mahukan majlis tersebut dihadiri oleh kaum keluarga sahaja.

“Saya tiada niat berahsia atau melarikan diri daripada media berkenaan pertunangan ini namun saya perlu mengutamakan permintaan keluarga tunang dan keluarga saya agar ia berjalan tanpa liputan media.

“Namun saya akur apabila ia terlepas juga di media sosial tetapi dalam masa sama bersyukur kerana tunang dan keluarganya tidak berasa ralat dengan insiden tersebut,” katanya kepada Kosmo.

Tambah pelakon yang popular dengan drama ‘Qalesya’ itu lagi, dia mengambil iktibar daripada pengalaman pertunangan yang lalu untuk lebih bersederhana untuk majlis kali kedua ini.

“Untuk majlis kali pertama, saya akui saya teruja kerana baru merasai pengalaman bercinta dan mengikat tali pertunangan jadi saya buat secara besar-besaran.

“Kali ini biarlah dibuat secara sederhana kerana apa yang penting ia berjalan dengan lancar dan sempurna,” jelasnya lagi.

Setakat ini, Elfira masih belum bersedia mengumumkan tarikh pernikahan namun mengesahkan ia akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Tarikhnya ada dalam hati saya, siapa boleh baca hati saya, mesti dia dapat agak,” tuturnya ringkas.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan untuk majlis perkahwinannya nanti, pelakon yang mesra disapa El itu menjelaskan semua perkara tersebut belum dilakukan.

“Setakat ini saya baru sahaja habis menjalani kursus perkahwinan. Manakala persiapan lain belum lagi dilakukan. Lagipun saya lebih suka membuat persiapan pada saat-saat akhir,” jelasnya.

Terdahulu, Elfira pernah bertunang dengan penyanyi, Sufian Suhaimi pada 6 Oktober 2017 dalam sebuah majlis besar-besaran namun tidak menemui penamat bahagia apabila ia terputus secara rasmi pada 18 Februari lepas.

Hangat.com mendoakan agar Elfira mencapai kebahagian yang ingin dikecapi dan semoga segala urusan untuk majlis perkahwinan yang akan dilangsungkan pada tahun depan dipermudahkan, in shaa Allah.

SUMBERKosmo!
Artikel SebelumnyaBen Amir Tak Kisah Naik Lambat Setanding Hero Remaja Yang Lain?
Artikel SeterusnyaRita Rudaini Terkilan Difitnah Sombong & Cemburu Dengan Zahirah Macwilson?
Konsert, Muzik, Filem dengan hidupku umpama "bila bunyi bersatu kau milikku!"