Menurut Azmir Arif, walaupun beliau masih kurang dikenali setelah 10 tahun di dalam industri muzik tanah air, namun itu tidak pernah menjadi sebab untuknya mengundurkan diri daripada terus mengejar cita-citanya itu.

Jejaka yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang ini sebenarnya pernah mengalami pelbagai peristiwa perit sebelum nekad untuk bergelar penyanyi. Menurut Azmir, kekurangan yang dialaminya sering menjadi bahan pertikaian mereka di luar sana sehingga dia pernah hilang punca. Namun dia yakin, setiap usaha gigihnya itu pasti akan terbalas suatu hari nanti.

Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahinya kerana popularitinya gagal menyerlah apabila memilih nama ini sebagai nama pentas. Bertitik tolak daripada itu, Azmir membuat keputusan menggunakan nama sebenarnya Azmira Arif dan ternyata langkah ini membawa tuah buat penyanyi unik ini.

“Memang awalnya saya nak menggunakan nama Azmira tapi ketika itu ada yang berkata ia nama perempuan. Apa yang nak dimalukan kerana ia adalah nama sebenar yang diberikan ibu bapa saya”, katanya.

Menurut Azmira, tiada apa yang dirasakan janggal kerana ia dilihat lebih menghargai nama pemberian orang tuanya.

“Saya nak ambil berkat menerusi nama ini. Mungkin orang rasa pelik kerana sudah biasa panggil saya Azmir. Saya bukan nak menidakkan nama Azmir sebagai kurang bertuah atau sebaliknya tetapi rasanya perlu pembaharuan dalam karier”, tambah Azmira.

Azmira kini hadir dengan single terbaru berjudul Pencinta Setia ciptaan komposer dan penyanyi Asfan Shah serta lirik oleh Fedtri Yahya. Lagu berentak balada itu seakan-akan memberi sinar buatnya apabila dipilih menjadi runut bunyi drama bersiri Mawar Murni yang sedang disiarkan menerusi TV3.

“Lagu ini lebih ringan berbanding nyanyian saya sebelum ini. Cara nyanyian saya juga amat lain. Ia memang sesuai dijadikan runut bunyi drama dan saya sangat bersyukur apabila menjadi pilihan penerbit drama itu”, kata Azmira lagi.

Apapun Hangat.com ingin mengucapkan semoga Azmira tabah dan jangan pernah ada perasaan putus asa dalam industri tanah air serta terus maju jaya, in shaa Allah.

Artikel SebelumnyaAfgan & Rossa Sudah Bernikah & Merahsiakan Majlis Pernikahan?
Artikel Seterusnya‘Baby One More Time’ Oleh Britney Spears Kini Berusia 20 Tahun
Konsert, Muzik, Filem dengan hidupku umpama "bila bunyi bersatu kau milikku!"