Siapa sangka filem Halloween sudah menginjak 40 tahun usianya sebaik sahaja filem sekualnya yang terbaru ditayangkan serentak di seluruh dunia bermula Khamis yang lalu.

40 Tahun Masih Mendebarkan!

Franchise filem seram thriller terbesar ini bukan sahaja membuat ‘comeback’ selepas 40 tahun, malah turut mengalahkan rekod filem ‘slasher’ terbaik yang dipegang oleh filem Scream selama 22 tahun. Terima kasih kepada Michael Myers kerana menjadi penyumbang utama rekod ini. Halloween 2018 bukanlah filem sekualnya yang terbaru sebaliknya ianya merupakan kesinambungan kepada 10 filem nya yang lain menjadikan Halloween mempunyai sebanyak 11 siri!

Selepas menonton Halloween yang ke 11 ini, apa yang kami boleh katakan ianya masih lagi kekal sebagai antara filem thriller terbaik pernah dihasilkan. Meskipun tidaklah sehebat pada keluarannya sebelum ini, ‘keserasian’ watak Laurie Strode lakonan Jamie Lee Curtis dan Michael Myers masih lagi mampu membuat penonton terasa akan debarannya sama seperti 10 filemnya yang terdahulu.

Sinopsis Halloween 2018

Sudah 40 tahun sejak Laurie Strode berjaya mengharungi serangan kejam dari penjenayah psiko bersiri, Michael Myers yang akan membunuh sesiapa sahaja yang diingininya.

Kini, Michael sekali lagi mengganas bukan sahaja berdendam pada Laurie malah pada anak dan cucunya. Meskipun begitu, kali ini Laurie juga sudah bersedia sebaik mungkin dan barangkali ini adalah penamat segala-galanya bagi Michael.