Saban tahun, International Folklore Festival anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) amat dinantikan peminat khususnya warga PJ kerana seringkali menampilkan artis popular dan hebat.

Kesinambungan Berterusan

Bermula dengan edisi pertama pada 2013, peminat sudah menyaksikan persembahan daripada ramai artis antaranya Amy Search, Zamani, Datuk Ramli Sarip, Ito Blues Geng, kumpulan Wings, Kaka, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Altimet, Datuk M Nasir dan Ameng Spring.

Untuk edisi keenam, International Folklore Festival 2018 atau lebih sinonim dengan panggilan Karnival Petaling Jaya (PJ Fair) yang kini diadakan di Dataran Petaling Jaya hadapan Amcorp Mall P.J lebih menjanjikan keseronokan buat peminat apabila menghimpunkan ramai artis popular dalam acara pentas.

11 Penyanyi Bakal Hiburkan PJ Fair

Menerusi acara yang dinamakan Konsert Evolusi PJ yang akan berlangsung pada 10 November, peminat akan dapat menyaksikan persembahan kumpulan XPDC, Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop, Aina Mentor dan Maynine Band. Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pemilihan barisan artis ini dirasakan tepat kerana masing-masing popular dan mempunyai kekuatan tersendiri.

Menurut Mohd. Azizi, PJ Fair bertujuan mempromosikan bandaraya Petaling Jaya sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa menerusi kepelbagaian budaya komunitinya. Selain Konsert Evolusi PJ pada 10 November yang menjadi kemuncak acara, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan etnik sembilan negara yang terbabit.