Single kedua nya yang berjudul Nyawa dan Raga begitu ‘pantas’ mencuri perhatian peminat di Malaysia apatah lagi rentak muziknya begitu dekat dengan jiwa remaja Sarah Suhairi.

Catat Lebih 2 Juta Tontonan

Malah sejak video muzik ini dilancarkan pada 15 Oktober lalu, Nyawa dan raga telah mencatat lebih dari 2 juta tontonan. Itulah penangan yang dibawa Sarah setelah muncul sebagai juara program realiti, Big Stage. Melihatkan pada permulaan dan perkembangan yang baik dibawa Sarah, pihak syarikat rakaman MVM Production dan Warner Music telah bergabung untuk merancang meluaskan lagi karier penyanyi berusia 18 tahun di arena muzik ini.

Mahu Jadi Penyanyi Rap Bertudung Pertama Di Malaysia

Sarah ketika ditemui Hangat.com berkata dia gemar menyanyikan bahagian rap sesebuah lagu dan single kedua ini turut diselitkan unsur yang sama. Malah ini juga titik permulaan baginya untuk mengembangkan lagi genre tersebut dan ingin menjadi penyanyi wanita rap bertudung pertama di Malaysia.

“Sebenarnya Sarah sememangnya suka mendengar lagu rap terutama dari penyanyi antarabangsa. Tetapi kebanyakannya terselit perkataan yang agak sensitif. Jadi Sarah membuat keputusan untuk mencuba sendiri dan ingin menjadi wanita berhijab pertama yang membawa genre seperti itu. Insya-Allah kalau ada rezeki, Sarah akan mengeluarkan lagu rap sepenuhnya,”

Selain Nyawa dan Raga, menerusi majlis pelancarannya, Sarah turut mendendangkan single pertama nya yang berjudul Pedih di mana ianya telah mencatat lebih dari 4 juta tontonan di YouTube.