Baru sahaja ditayangkan pada Isnin lalu, namun drama bersiri Isteri Untuk Disewa terbitan Osman Ali itu mula mencetuskan kontroversi nya tersendiri.

Tajuk Dan Jalan Cerita Bertentangan Agama

Manakan tidak, tajuk dan jalan cerita drama tersebut dikatakan seperti bertentangan agama sehingga mendapat teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menurut Zulkifli, hukum menyewa isteri adalah haram dan tajuk drama berkenaan sekiranya difahami secara zahir amat bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah.

“Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa.

“Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19,”

Khuatir Akan Menjadi ‘Trend’

Tambahnya lagi, dengan tajuk seumapama itu dikhuatiri kelak akan menjadi trend dalam penggiat seni sebagai tajuk ataupun penggunaan di dalam mana-mana karya. Meskipun begitu, Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada seluruh produksi di atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.

“Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita,”

Drama adaptasi novel Isteri Untuk Disewa karya Syamnuriezmil, menampilkan pelakon, Fattah Amin dan Tiz Zaqyah dan  disiarkan menerusi saluran Astro Ria.