Gegar Vaganza 5 menyaksikan penyanyi Noryn Aziz muncul sebagai juara musim kelima program realiti itu dengan mencatat markah 78.40% jauh meninggalkan saingannya yang juga tempat kedua, Dia Fadila yang memperolehi 69.40% markah.

8 Kontroversi Panas Gegar Vaganza 5

Disebalik berlangsungnya program ini selama beberapa minggu, muncul beberapa kontroversi panas membabitkan beberapa selebriti termasuk penaja utamanya. Hangat.com rangkumkan 8 kontroversi Gegar Vaganza 5 yang barangkali paling panas sepanjang 5 musim penganjurannya?

8Pembabitan Kumpulan Forteen Dipertikaikan

Dalam GV5 kali ini tiada lagi peserta dari negara seberang sebaliknya digantikan penyertaan peserta berkumpulan dan duo yang terdiri daripada Billy Zulkarnain, Kumpulan Elite dan juga Forteen. 9 Lagi peserta pula menyaksikan Safura, Amelina, Dia Fadila, Hetty Sarlene, Zamani, Shafie Rio, Noryn Aziz, Farawahida dan Maya Matahari.

Seperti yang sedia maklum Gegar Vaganza adalah platform untuk penyanyi-penyanyi malar segar. Namun penyertaan Forteen di dalam GV kali ini dipersoalkan kerana ada yang mendakwa kumpulan ini masih lagi baru dan tidak layak untuk bertanding.

7Zamani Gagal Meneruskan Persembahan

Sebelum melangkah ke peringkat akhir, penyanyi terkenal Zamani mengejutkan ramai pihak termasuk peminatnya kerana dia gagal meneruskan persembahan dalam rancangan realiti, Gegar Vaganza 5 (GV5) ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

Dalam konsert itu juga, Zamani telah tersingkir sebelum diselamatkan Datuk Seri Aliff Syukri menggunakan kuasa imunitinya selaku penaja utama GV5.

6Isu ‘Ugly’ Dan ‘Kulit Gelap’

Pada 4 November, isu keterlanjuran kata mengenai isu menggelar netizen sebagai ‘ugly’ dan warna kulit yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Aliff Syukri yang merujuk kepada penyanyi Santesh dalam rancangan realiti Gegar Vaganza 5 menjadi topik sensasi netizen tanah air.

Biar pun Aliff sudah memohon maaf namun pihak label Santesh, PU4LYF telah mengadakan perbincangan dengan peguam ekoran tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Aliff semasa program itu sedang berlangsung.

5Pakaian Dari Penaja Timbulkan Kekecohan

Isu pakaian melibatkan peserta dan penaja GV5 juga antara yang ‘panas’! Bermula dengan penyanyi Hetty Sarlene mencuri perhatian dengan memakai sepersalinan busana cantik berwarna biru yang direka oleh Chintafifi Boutique.

Disebalik kecantikan baju tersebut, timbul pula dakwaan yang mengatakan rekaan tersebut seperti sama dan seolah-olah meniru busana pelakon Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta yang direka oleh Rizman Ruzaini. Dakwaan tersebut seterusnya turut mencetuskan pertelagahan peminat kedua-dua selebriti tersebut di laman Instagram.

Selain itu, Amelina turut terpalit dengan isu yang sama apabila penajanya, Razman Razmi dikatakan serik untuk menaja pakaian penyanyi itu setelah pihak Amelina dikatakan enggan memakai busana yang telah direka khas untuknya menjelang peringkat separuh akhir program realiti itu.

4Astro Diberi Amaran

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memberi amaran kepada Astro selaku stesen televisyen yang menyiarkan siaran langsung GV5 gara-gara kenyataan Aliff berkenaan isu warna kulit.

Dalam kenyataan itu, MCMC memandang serius akan isu tersebut dan amaran tersebut diberi agar perkara yang sama tidak lagi terjadi pada masa akan datang.

3Izzue Islam Keluar Dari Forteen

Mengejutkan! Selepas 7 tahun bersama salah seorang ahli kumpulan Forteen yang juga pelakon dan penyanyi, Izzue Islam membuat keputusan untuk berundur dari kumpulan itu. Keputusan itu dibuat Izzue ketika peringkat akhir GV5 dimana salah satu faktor dia membuat keputusan tersebut adalah kerana dipulaukan ahli anggota kumpulan tersebut yang lain.

2Aliff Syukri Dilayan Seperti ‘Budak’

Dalam konsert akhir GV5, kemarahan jelas terpancar pada Aliff yang dilihat seperti tidak berpuas hati dengan pihak Astro sehingga bertindak meninggalkan konsert itu.

Malah menerusi video yang dimuat naik usahawan itu dia meluahkan perasaan kecewa dan terkilan apabila beberapa orang rakannya tidak dibenarkan menari bersama di atas pentas GV bagi mempromosikan lagu baharu berjudul Biar Apa Orang Kata.

1Perselisihan Faham Antara DSV Dan Nabil Ahmad

Tidak cukup dengan itu, Nabil Ahmad dikatakan berang selepas  Dato Seri Vida menuduh dia dan Jihan berkelakuan sombong dengan tidak menegurnya ketika menghadiri program realiti itu pada Ahad lalu.

Membalas kenyataan yang dikeluarkan Vida, Nabil menerusi ruangan komen Instagram usahawan itu menuntut hutangnya yang tertunggak. Malah menerusi kenyataan sebuah portal hiburan, Nabil memberitahu Vida masih berhutang dengannya sejumlah RM30,000 sejak dua tahun yang lalu.