Hari ini, sudah masuk ke penggal terakhir bagi tahun 2018. Pelbagai kenangan dan sejarah manis tercipta dalam industri hiburan tanah air termasuk perfileman negara.

10 Filem Tempatan Terbaik Sepanjang 2018

Tidak keterlaluan untuk kami katakan 2018 adalah tahun yang terbaik untuk perfileman negara. Manakan tidak banyak filem tempatan mengungguli rekod kutipannya tersendiri malah ada diantaranya memecah rekod terdahulu. Untuk itu Hangat.com bawakan kembali senarai 10 filem tempatan terbaik yang ditayangkan pada tahun ini.

1Paskal The Movie

Paskal yang meraih sebanyak 30 juta kutipan bukan sahaja menjadi filem tempatan ketiga yang berjaya meraih kutipan paling tinggi, malah Paskal turut menjadi filem tempatan pertama yang meraih ‘rating’ tertinggi di platform digital ulasan filem antarabangsa, Internet Movie Database (IMDb). Mengisahkan mengenai pasukan Khas Laut, Paskal : The Movie dibarisi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, G Theeban, Henley Hii, Nam Ron, Amerul Affendi, Datuk Eizlan Yusof, Tiger Chen, Steve Yap dan Jasmine Suraya Chin.

2Gol & Gincu Vol.2

Selepas 13 tahun, Gol & Gincu kembali dengan siri keduanya dengan menampilkan muka-muka baru dan turut membuat comeback adalah beberapa orang pelakonnya terdahulu. Mengisahkan mengenai Zakiah (Zak) dan Zakiah (Yaya) adalah dua pelajar universiti yang sama nama namun mempunyai personaliti yang jauh berbeza. Akibat tercetusnya pergaduhan di khalayak ramai kedua-dua gadis telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak pengurusan universiti untuk melakukan kerja-kerja amal sebagai teladan kepada pelajar-pelajar lain.

3Munafik 2

Pengarah filem ini, Syamsul Yusof mengumumkan bahawa filem Munafik 2 telah berjaya mencatat sejarah selepas memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta untuk tempoh 17 hari ditayangkan. Filem lakonan Syamsul sendiri aktres Maya Karin sebagai Sakinah itu mengenepikan filem arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah (HKL) yang mengutip RM35 juta bulan lalu.

4Hantu Kak Limah

Hantu Kak Limah mengisahkan tentang misteri kematian Kak Limah selepas berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda darinya. Kampung Pisang menjadi huru-hara apabila orang kampung diganggu oleh hantu Kak Limah. Filem komedi ini tampil unggul sebagai filem komedi paling laris di Malaysia!

5Dukun

Tahniah Hangat.com ucapkan buat seluruh produksi dan pelakon filem ini kerana telah mencapai kutipan lebih daripada RM10 juta selama 20 hari tayangan. Malah Dukun turut meraih sebagai filem terbaik ASK 2018. Barangkali ini adalah hikmah filem ini digantung tayangan 12 tahun yang lalu.

Diarahkan oleh Dain Said filem ini ternyata punyai kekuatannya tersendiri selain dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Datin Seri Umie Aida, Adlin Aman Ramlie, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana.

6KL Special Force

Suka untuk kami letakkan filem ini sebagai antara yang terbaik pada tahun ini. Special Force telah berjaya menggabungkan pelbagai aksi diinspirasi dari filem Hongkong, Bollywood dan Hollywood. Jalan cerita filem yang cukup mendebarkan dan penuh dengan aksi!

7One Two Jaga

Meskipun sambutan yang diterima tidaklah sekencang filem lain, namun filem berkisahkan pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini harus dipuji. Memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah sebenarnya mendapat sokongan dari peminat termasuk Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.

8Pulang

Antara filem yang menelan kos perfileman yang besar. Nasib yang sama seperti One Two Jaga, kutipan filem berdasarkan kisah sebenar ini tidak mendapat sambutan meskipun jalan ceritanya antara salah satu naskhah yang terbaik pernah ditonton!

9Polis Evo 2

Sedang hangat ditayangkan, sekual kedua Polis Evo ini terus mengungguli sejarahnya yang lalu apabila berjaya mengutip 10 juta kutipan dalam masa 5 hari ditayangkan. Polis Evo 2 mengisahkan mengenai Inspektor Sani dan Khai yang kini terlibat dalam sebuah misi pengintipan di sebuah pulau terpencil di pantai timur. Suasana bertukar keruh apabila sekumpulan pengganas yang diketuai oleh Hafsyam Jauhari menyerang dan menawan pulau tersebut.

10Lee Chong Wei

Goosebumps! Itulah perasaan yang kami alami ketika menonton filem Lee Chong Wei pada sesi ‘media preview’ filem ini. Sangkaan kami pada mulanya hanyalah filem berunsurkan kekeluargaan yang biasa sahaja. Apatah lagi komen mengenai filem tempatan terdahulu sedikit sebanyak menghakis kepercayaan pada filem ini pula.

Namun babak pertama yang menampilkan kemunculan khas Datuk Wira Lee Chong Wei dan kemudiannya dilakonkan oleh pelakon-pelakon seperti Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi) berjaya melakonkan watak tersebut dengan baik.