Mati Dibunuh? Kisah Cinta ‘Isteri’ Anuar Zain Bersambung Dalam MV Belahan Hati

853

Peminat Anuar Zain akhirnya dapat melihat kesudahan dari sekuel video muzik Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir menerusi saluran YouTube Anuar Zain. Kini video tersebut telah pun ditonton sebanyak 44 ribu orang yang dimuat naik pada 30 November 2018.

Video muzik terbaru, Belahan Hati merupakan sambungan jalan cerita kepada video muzik, Cinta Takkan Berakhir yang diterbitkan pada 27 Januari 2017.

Hampir dua tahun menunggu, rentetan sambungan kisah dari lagu itu merupakan sinambungan kisah cinta dilakonkan Sharifah Sakinah yang digambarkan pada awalnya sebagai seorang orang kampung yang menjadi bintang popular dilihat meninggalkan suaminya demi mengejar kemewahan bersama lelaki lain.

Ramai yang memuji jalan cerita klip video itu namun buah tangan pengarah Amor Rizan terbaharu ini disifatkan lebih menyentuh perasaan sehingga ada yang berkata jalan ceritanya layak dijadikan sebuah drama TV.

Perjalanan klip itu menceritakan bagaimana seorang isteri terpaksa bersembunyi dari hal sebenar di mana dia masih mencintai suami serta anaknya. Ia dibuktikan apabila Sharifah digambarkan seorang ibu yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi melihat keluarganya bahagia. Namun di pengakhiran, Sakinah maut ditembak oleh suami barunya yang kaki mabuk.

Pelbagai reaksi diberikan peminat, ada yang tersentuh hati, dan menganggap setiap karya Anuar Zain tak pernah mengecewakan.