Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan atau lebih mesra dipanggil Lizzy memberitahu dirinya kini mahu memberi lebih tumpuan dalam bidang lakonan berbanding dengan bidang nyanyian. Lizzy berkata ketika diwawancara oleh Utusan Online, dalam bidang nyanyian dia mengalami masalah kegelisahan melampau sekiranya mahu membuat persembahan.

Menurut wawancara tersebut, Lizzy akui dia tak mampu untuk membuat persembahan di hadapan lebih 10 orang, gara-gara perasaan cemas, berdebar yang melampau membuatkan dirinya rasa tak selesa di pentas. Lizzy pernah mendapat nasihat dari doktor supaya melawan perasaan itu tapi dia tak mampu untuk lakukannya.

“Setiap kali mahu membuat persembahan, saya tidak tidur malam. Malah disebabkan terlalu takut, saya tidak boleh bernafas dengan betul, tekak saya menjadi sempit dan tidak boleh mengeluarkan suara dengan baik,” luahnya.

Menurut Lizzy, ibunya tidak menghalangnya untuk berundur daripada bidang nyanyian, namun setakat ini dia masih belum membuat sebarang keputusan.

“Keluarga tidaklah terlalu menyokong saya dalam industri ini. Kalau saya tukar kerjaya mereka suka.

“Saya ada juga terfikir nak berhenti menyanyi, tapi sayang pula dengan usaha selama enam tahun ini,” luah Lizzy.

Ekoran dari hal itu, Lizzy memilih untuk memberi fokus pada bidang lakonan dan bertanya soal cinta, Lizzy mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang kini menjadi teman rapatnya iaitu berbangsa melayu.

“Saya memang suka berkawan dengan orang Melayu, bahkan sejak sekolah saya memilih untuk bercinta dengan lelaki Melayu,”  katanya.