Bekas peserta Pencetus Ummah (PU) musim keempat, Riz Ismail, kini menjadi sebutan selepas membintangi beberapa buah drama seperti antaranya drama TV bersiri Lelaki Kiriman Tuhan.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Muhammad Haris Mohd. Ismail ini tidak sebarangan menerima tawaran berlakon yang diberikan kepadanya. Sebaliknya kata Riz, dia akan tidak akan menerima watak-watak dengan melibatkan adegan-adegan panas yang memerlukannya beraksi di atas ranjang.

Seperti yang dilaporarkan menerusi Kosmo, walaupun pemilihan watak yang tidak terhad, namun dia akan menolak sekiranya ada adegan bertentangan dengan prinsipnya.

“Tidak juga. Saya sudah banyak kali melakonkan pelbagai watak. Seperti contoh dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan, saya berlakon sebagai bekas kekasih Mira Filzah. Dalam drama lain, ada juga saya berlakon sebagai budak sekolah. Pemilihan watak tidak terhad, tetapi saya tidak akan buat babak bersentuhan apatah lagi di atas ranjang sebab adegan sebegitu bertentangan dengan prinsip saya.”

Mengenai perkembangan terbaru, Riz telah memutuskan untuk terpaksa berehat seketika daripada bidang lakonan. Menurut Riz, dia kena menghabiskan baki pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang dan pengajian Islam demi memenuhi permintaan ibunya.

Riz tidak menafikan pembabitannya dalam lakonan itu sedikit sebanyak membantu menambahkan lagi duit poketnya sekaligus menjadi punca pengajiannya tertangguh selama lebih setahun.