Semalam, tular di media sosial apabila terdapat seorang netizen yang dikenali sebagai Fatin Syahira membuat kejutan buat ibunya dengan menghadiahkan tiket ke Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019.

Teruja Dapat Ke Konsert 

Video tersebut yang mendapat perhatian ramai memperlihatkan Fatin memberi sebuah sampul pada ibunya yang baru sahaja selesai solat. Sejurus membuka sampul tersebut, ibunya menjerit seolah-olah tidak percaya apabila dapat pergi ke konsert penyanyi kesayangan mereka itu.

Siti Terharu 

Perkongsian tersebut bukan sahaja menarik perhatian netizen malah Siti sendiri turut memberi respons pada video yang dimuat naik. Menurut pelantun Anta Permana itu, dia berasa terharu dan sebak setelah menonton video tersebut selain turut berasa bersyukur kerana dikurniakan bakat untuk menghiburkan peminat-peminatnya.

“Subhanallah… Comelnya mak! Love you both Kak Iti pula rasa nak menangis,”

Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada 16 Mac nanti.

Dikhabarkan tiket sudah habis dijual dan seramai 10,000 peminat bakal membanjiri Stadium Axiata , Bukit Jalil kelak!. Semoga dipermudahkan segalanya Tokti!