Tahun 2019 merupakan tahun yang begitu cemerlang buat selebriti verstail, Elizabeth Tan. Manakan tidak, hampir segala-galanya telah diceburi oleh Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy.

Mahu Bawa Mandi Bersama 

Malah sejak beberapa bulan yang lalu sehingga kini, nama Lizzy sering kali meniti di bibir peminat menerusi pertaruhannya dalam single terbaharu, Semua sudah dan juga filemnya yang kini hangat ditayangkan di pawagam, Misteri Dilaila. Tidak cukup dengan itu, Lizzy yang juga seorang penyanyi, komposer, pelakon kini bergelar seorang usahawan apabila dia telah melancarkan jenama produk penjagaan diri miliknya, Mandi.

Mengajak netizen dan peminat membawa ‘Mandi’ bersama, bagi Lizzy dia nekad untuk tampilkan rangkaian produk ini kerana dia begitu sukakan pada wangian yang pelbagai. Oleh itu, penyanyi ini memperkenalkan produk penjagaaan diri dan mulut. Lizzy ketika ditemui Hangat.com di majlis pelancaran produk Mandi berkata, dia memilih nama Mandi kerana ianya membawa pelbagai maksud. Selain Mandi membawa erti membersihkan diri, menurut Lizzy Mandi juga bermaksud  berhak untuk dihargai.

” Bagi Lizzy maksud Lizzy ini sendiri bawa pelbagai maksud. Sengaja Lizzy tak nak pilih nama sendiri sebagai nama produk sebab Lizzy tidak mahu hadkan nama Lizzy kepada sesuatu benda”

Menariknya lagi, kesemua wangian dan haruman produk ini merupakan pilihan dan kegemaran Lizzy sendiri yang boleh didapati secara atas talian bermula pada hari ini di www.mandi.com.my

Teruja Terbabit Dalam Filem Terbaharu 

Dalam perkembangan lain mengenai karier seni nya pula, Lizzy kini turut teruja apabila dia bakal menjalani penggambaran sebuah sekual filem terkenal bermula minggu hadapan.

” Sebenarnya Lizzy pada minggu hadapan akan memulakan penggambaran sebuah sekual filem terkenal. Lizzy memang teruja sangat sebab watak yang akan dipegang Lizzy sesuatu yang berbeza sebelum ini. Apa pun, kalau ditanya karier seni Lizzy semakin bertambah baik, Lizzy sememangnya bertuah dan berterima kasih atas sokongan selama ini meskipun Lizzy sedar ianya hanyalah sementara”

Malah pelakon Misteri Dilaila ini berasa bangga dan berterima kasih atas sokongan peminat yang tidak henti-henti menyokongnya sehingga menjadikan setiap pertaruhan yang dilakukan berjaya dilaksanakan.