Sejak tahun lalu, peminat tertanya-tanya mengenai status hubungan pelakon Remy Ishak dan tunangnya, Ezza Yusof. Malah spekulasi mengenai hubungan pelakon itu bertambah apabila dia mendedahkan dirinya kini sedang solo menerusi video secara langsung di Instagramnya, baru-baru ini.

Putus Tunang Sebulan Yang Lalu 

Kini, segalanya terjawab apabila pelakon itu mengesahkan ikatan pertunangannya yang terjalin selama dua tahun telah pun putus sejak sebulan yang lalu. Akui Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei bin Ishak, antara punca mengapa ikatan pertunangan mereka itu tidak dapat diteruskan adalah kerana timbulnya krisis diantara mereka. Namun begitu, Remy menafikan wujudnya masalah orang ketiga.

“Benar (sudah putus tunang)… Tidak adil untuk terus tangguh perkahwinan kerana belum ada hala tuju hubungan ini. Bukan salah Ezza, dia insan baik. Sebaliknya, isu timbul daripada konflik dalaman saya.

“Tempoh pertunangan dua tahun membuatkan saya sedar diri ini belum bersedia untuk menjadi suami. Masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum memegang peranan sebagai ketua keluarga.

“Saya harus memikirkan mengenai Ezza kerana hubungan ini bukan membabitkan saya saja.

“Tempoh bertenang diperlukan untuk memperbaiki diri dan sebagainya, cuma kedua-dua belah keluarga sudah dimaklumkan,”

Perlukan Tempoh Bertenang 

Jelas Remy lagi dia sama sekali tidak menolak sekiranya ditakdirkan hubungannya dengan Ezza kembali bertaut. Menurutnya, dia memerlukan tempoh bertenangn untuk memperbaiki diri dan sudah memaklumkannya kepada kedua-dua belah keluarga.

Enggan mengeruhkan keadaan, Remy mengambil jalan untuk tidak membuka mulut mengenai urusan pemulangan cincin kerana baginya ianya terlalu peribadi untuk dikongsi. Malah kedua-dua mereka masih menjalankan perniagaan bersama. Pelakon drama rantaian Pujaan Hati Kanda itu telah mengikat tali pertunangan bersama Ezza pada Mei 2017.