Siapa sangka dengan penangan kanak-kanak kembar yang dikenali sebagai Upin & Ipin berjaya mencetuskan fenomena nya tersendiri sehingga ke negara sebarang. Jujur kami katakan, Upin & Ipin membawa satu cetusan baru dalam penggiat industri negara dimana animasi keluaran Les’ Copaque ini berjaya menyatupadukan rakyat dan masyarakat yang pelbagai kaum dan lapisan umur.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Membanggakan! 

Selepas tampil dengan dua filem nya terdahulu, animasi paling popular di Malaysia ini kembali dengan filem ketiganya yang berjudul Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Sewaktu majlis pelancaran poster filem ini tempoh hari, Hangat.com berkesempatan untuk menonton pra-tonton trailer awal filem ini selama 10 minit. Bangga dan meremang bulu roma kami kerana teruja melihatkan animasi yang telah digarap dengan baik meskipun pada ketika itu ianya hanyalah sekadar trailer.

Terbaik Dalam Sejarah 

Kini selepas ditayangkan empat hari yang lalu, kami sendiri berkesempatan untuk membeli dan menonton sendiri tayangan filem ini selepas rata-rata penonton memberikan skala markah penuh bagi filem Upin & Ipin : Siamang Tunggal. Perasaan yang sama ketika menonton trailer terdahulu, segala-galanya tampak indah dengan sinematografi nya juga disusun dengan lebih baik.

Jika dahulu, filem animasi Putih yang ditayangkan sekitar tahun 2001 mendapat tempat di hati, kini Upin & Ipin bakal menyusul dan tidak keterlaluan jika kami katakan Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal antara animasi terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah. Biarpun begitu, jika ingin bercakap mengenai kelemahan barangkali watak-watak kisah dongeng terdahulu mungkin boleh diperkuatkan kerana pada keseluruhan edisi Upin & Ipin kali ini ianya lebih berkisarkan pada ‘plot twist’ watak-watak tersebut.

5.3 Juta Kutipan Dalam Masa Empat Hari 

Dalam perkembangan lain, sesuatu yang membanggakan buat produksi tempatan ini, kerana filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal telah mencapai 5.3 juta kutipan hanya dalam masa 4 hari tayangan. Tidak mustahil untuk filem ini memecahkan rekodnya terdahulu kerana Geng : Penggembaraan bermula telah mencapai kutipan keseluruhan sebanyak 6.20 juta kutipan yang kini menduduki tangga ke-30 bagi kutipan filem tertinggi sepanjang zaman. Tahniah diucapkan!

Sinopsis Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mengetengahkan pengembaraan Upin dan Ipin bersama rakan-rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng bernama “Inderaloka”. Mereka akan berjumpa dengan pelbagai watak-watak dongeng popular seperti Mat Jenin, Bawang Merah, Bawang Putih dan Pak Belalang. Istimewanya lagi, filem ini mempunyai dua OST ysng dinyanyikan oleh Ernie Zakri dan Fakrul Razi.