Agak lama tidak dilihat muncul dalam mana-mana rancangan di televisyen, sebenarnya penyanyi senior Ning Baizura tidak pernah surut daripada berada dalam industri hiburan tanah air.

Menurut pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu, dia masih lagi aktif dalam bidang nyanyian tetapi mengakui lebih banyak terlibat dalam undangan tertutup untuk majlis korporat sesebuah organisasi. Dalam temubualnya bersama Harian Metro, dia tidak menafikan jarang keluar TV.

“Syukur, karier nyanyian saya masih bernafas dengan menerima tawaran persembahan tertutup anjuran syarikat korporat dan majlis makan malam. Sepanjang 26 tahun bergelar penyanyi rezeki saya tidak pernah putus. Cuma tak dinafikan saya jarang muncul dalam program di televisyen. Jadi, mungkin kerana itu tak ramai tahu saya sebenarnya masih aktif menyanyi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ning kini aktif dalam aktiviti sukarela bersama anaknya, Ryan Sky yang kini berusia 6 tahun.

“Sebelum berkahwin lagi saya sering menyertai pelbagai aktiviti sukarela anjuran badan bukan kerajaan (NGO). Cuma, banyak buat secara diam-diam saja. Apabila sudah ada anak saya jadi semakin berminat kerana aktiviti yang bagus sebegini turut menarik minat Ryan Sky, 6,” katanya.

Ning bakal mengadakan konsert mini Ning Live! ‘Saving Tigers Together’ yang akan berlangsung di Zoo Negara pada 20 April nanti. Dalam konsert itu, Ning difahamkan akan membawa 10 lagu di samping penonton juga akan menikmati aktiviti lain seperti menyaksikan beberapa pertunjukan haiwan. Harga tiket boleh didapati dengan berkunjung ke www.airasiaredtix.com

BACA  Bakal Saman! Linda Rafar Tuntut 100 Orang Buat Permohonan Maaf