Mengumumkan bahawa beliau sudah bercerai dengan Vanidah Imran pada Ogos 2018, pelakon Rashidi Ishak memberitahu yang beliau kurang selesa apabila segelintir netizen melabel dia sebagai ‘duda hot’. Rashidi digelar sedemikian selepas penampilannya dilihat lebih kemas selain semakin kurus selepas bercerai.

“Saya sebenarnya kurang selesa apabila diberi gelaran seperti itu. Jika hendak tahu, badan saya kurus kerana saya mula menjalani kehidupan sihat dan lebih aktif sejak dua tahun lalu.

“Setiap hari saya akan berlari lima kilometer selain mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Lagipun saya sudah berusia dan inilah masanya untuk saya lebih menjaga tubuh badan supaya kekal sihat dan bertenaga,” kata Rashidi.

Selain itu, selepas mengumumkan sudah bercerai baru-baru ini, Rashidi mendedahkan dia menerima lebih 300 mesej setiap hari di laman Instagram. Rashidi berkata, sejak peminat mengetahui dirinya kembali solo, ramai yang menghantar mesej dan memberikan kata-kata semangat kepadanya terutama daripada peminat wanita.

BACA  Vanidah Imran Tidak Mahu Memanjangkan Hal Perpisahan Bersama Rashidi Ishak

“Jika ada kelapangan saya akan balas mesej mereka. Saya cuba sedaya upaya membalas semua mesej itu dan saya sangat menghargai sokongan mereka,” ujar Rashidi lagi.

Untuk makluman pembaca Hangat.com, Rashidi mendirikan rumah tangga bersama Vanidah pada 1 Oktober 2000. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak iaitu Mikhail Imran, 18, dan Maryam Rashika, 15. Hangat.com mendoakan Rashidi tabah meneruskan kehidupan solo selepas bercerai.