Ramai yang meramalkan drama rantaian Nur 2 sekali lagi akan mengulangi sejarah mereka dengan mencipta rekod baharu tidak lama lagi. Terdahulu, drama Nur terbitan Radius One Sdn Bhd ini telah menang besar dalam DFKL 2019 dengan membolot 6 anugerah utama termasuk memenangi anugerah Drama Pilihan.

Penonton Beremosi

Jika dahulu, rata-rata penonton akan beremosi ketika menonton Nur, kali ini perkara yang sama juga terjadi biarpun Nur 2 baru beberapa episod ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3. Ini termasuklah mengenai episod yang di siarkan malam tadi dimana menyaksikan penonton beremosi melihat reaksi Nur yang dilakonkan oleh Amyra Rosli.

‘Nur’ Teruk Diherdik

Dalam satu babak, Nur (Amyra) sekali lagi digoda oleh abang iparnya, Ustaz Hamadi yang dilakonkan oleh Azhan Rani. Hanya sekadar menampar dan melarikan diri dari Ustaz Hamadi, rata-rata penonton tidak berpuas hati kerana beranggapan Nur seperti terlalu naif dalam situasi tersebut.

Akibatnya, ‘Nur’ dan ‘Ustaz Hamadi’ teruk dikecam di media sosial sehingga ada yang sanggup meminta nombor telefon mereka untuk bersemuka gara-gara watak yang dimainkan mereka.

Ternyata, pelakon-pelakon ini berjaya memainkan watak mereka dengan baik. Kami meramalkan Nur 2 sekali lagi akan menjadi fenomena dan tidak tolak kemungkinan akan memecah rekod tontonan mereka terdahulu.