Jika pembaca Hangat.com perasaan, watak Syed Hamadi lakonan Azhan Rani lebih banyak dibincangkan di media sosial berbanding watak Nur sendiri dalam drama popular Nur 2. 

Ada yang menganggap watak antagonis ini seolah lebih ‘kuat’ dan impaknya lebih besar untuk siri kali ini. Namun begitu, pelakon utama drama Nur 2, Amyra Rosli tidak berkecil hati dan menganggap ia bukan satu hal yang perlu diperbesarkan.

“Saya tak rasa timbul isu overshadow di antara watak Madi dan Nur. Penonton baru tengok di episod awal, masih banyak lagi permainan yang akan dipersembahkan.

“Saya faham ramai yang bercakap mengenai hal ini di media sosial. Sabar dulu, masih awal untuk buat kesimpulan begitu,” kata Amyra Rosli kepada Xtra.

Akui Amyra, dia berharap agar penonton tidak terkejut dengan penceritaan di pertengahan dan akhir episod Nur 2.

“Anda akan nampak kelainan pada ‘warna’ Nur apabila dia mula berani berdepan dengan Ustaz Madi. Lebih banyak kejutan lebih-lebih lagi melibatkan permainan Madi yang lebih besar. Apapun, saya tak rasa para pelakon overshadow antara satu sama lain, semuanya seimbang,” tambah Amyra lagi kepada Xtra.

Drama rantaian Nur mencipta fenomena tersendiri pada tahun lalu seterusnya melayakkan drama bersiri ini menang besar di Drama Festival Kuala Lumpur 2019 yang berlangsung Ahad lepas.