Hanya seminggu sahaja lagi sebelum tayangan filem Avengers : Endgame ditayangkan yang memulakan debutnya di Malaysia pada 24 April sebelum ditayangkan serentak seluruh dunia pada 26 April ini.

Peminat Tertanya Penampilan Captain Marvel Berbeza 

Dalam pada itu, pihak Marvel sendiri telah mengeluarkan beberapa trailer yang dimuatnaik menerusi pelbagai sumber sekaligus mencetuskan banyak teori dan andaian peminat yang teruja menantikan penamat filem ini. Dalam pada itu, peminat turut tertanya-tanya mengenai perubahan penampilan Captain Marvel yang dilakonkan oleh Brie Larson kelihatan berbeza di dalam trailer Avengers terbaharu.

Manakan tidak di dalam filemnya terdahulu, rambut Captain Marvel atau Carol Danver kelihatan sedikit pendek dengan kemasan sanggul pada penghujungnya malah solekannya juga kelihatan nipis. Namun tidak di dalam Avengers kerana ‘Carol’ kelihatan sungguh bergaya malah rambutnya juga jauh lebih lurus. Adakah ianya satu petunjuk baharu? Jawapannya pembantu pengarah filem ini, Joe Russo cukup mudah!

“Dia terlebih dahulu membintangi Endgame sebelum Captain Marvel dan saya rasa dia telah menjalankan eksperimen terhadap wataknya. Pilihan itu terletak pada dirinya sendiri termasuklah solekan dan gaya rambut. Saya merasakan dia mula memahami akan karakter nya”

Eksperimen Dari Brie Larson 

Menurutnya, Brie terlebih dahulu menjalani penggambaran Avengers sebelum meneruskan penggambaran Captain Marvel, malah Brie sendiri telah melakukan ‘eksperimen’ mengenai perubahan tersebut dan ianya diterima baik oleh pihak produksi.

Perubahan penampilan watak Avengers bukanlah sesuatu yang baharu. Terdahulu, Captain America, Black Widow dan Thor turut mengalami perubahan imej sesuai dengan peralihan zaman yang ditempuhi mereka sepanjang perjuangan menentang penjahat.