Jika sebelum kita ada mendengar beberapa artis veteran menyuarakan pendapat mengenai seorang pelakon perlu ada bakat dari rupa. Salah satunya adalah pelakon dan penyanyi veteran, Fauziah Ahmad Daud yang berkata, industri hari ini perlukan bakat seseorang yang tulen dan bakat itu akan digilap sehingga ia berharga, bukan kerana rupa.

Berbeza dengan kenyataan rakan seperjuangannya, Faizal Hussein yang berpendapat setiap pelakon memerlukan raut wajah yang menarik selain daripada mempunyai bakat. Menurut kenyataan menerusi laporan di Utusan Online, dia berkata asas lakonan boleh ditingkatkan sekiranya ada kesungguhan untuk mendalaminya.

“Saya berpendapat, untuk bergelar artis terutama pelakon setiap mereka perlu memiliki raut wajah yang cantik atau pun kacak, ia sejajar dengan apa yang diminta oleh pihak pengiklanan Setiap drama mahupun filem yang disiarkan memerlukan pengiklan, jadi bagaimana mahu menarik iklan sekiranya pelakon-pelakon dalam drama itu sendiri tidak memiliki wajah yang sesuai untuk bergelar artis,” katanya kepada Utusan Online.

Faizal berkata, dia sendiri mengaku lakonan awalnya dalam Gila-gila Remaja agak kaku namun setelah dia cuba belajar dan memperbaiki bakat lakonan, lama kelamaan lakonannya menjadi baik.

BACA  Ellen DeGeneres Boikot Hotel Milik Sultan Brunei. Reaksi Pak Nil Memang WIN!
Foto: Astro Awani

Kenyataan Faizal ini telah mengingatkan kembali teguran yang dibuat oleh Penerbit terkenal, Datuk A. Aida suatu masa dahulu. Dalam satu kenyataannya di Astro Awani, Aida dengan beraninya pernah menegur pelakon baharu yang tidak memiliki rupa yang cantik dan kacak untuk tidak membuang masa menghadiri uji bakat.

Dalam masa sama, Aida berkata, beliau tidak berniat untuk menghina mana-mana pelakon baharu yang tidak memiliki rupa yang cantik dan kacak. Sebaliknya, beliau berkata, pandangan yang dikongsinya adalah berteraskan senario semasa semata-mata.